Pesawat AirAsia Patah Balik, Penumpang Ugut Letup Diri

KOLKATA – Penerbangan AirAsia dari Kolkata ke Mumbai yang membawa seramai 114 penumpang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Kolkata malam kelmarin (waktu tempatan) selepas seorang penumpang wanita mengancam untuk meletupkan pesawat itu, lapor Hindustan Times.

Pegawai polis kanan lapangan terbang itu berkata, seorang penumpang wanita berusia 25 tahun menaiki penerbangan AirAsia I5316 mengugut mahu meletupkan dirinya yang diikat dengan bom setelah pesawat itu berlepas pada jam 9.57 malam.

Menurutnya, setelah kira-kira 40 minit pesawat berkenaan berlepas, wanita itu didakwa meminta seorang kru kabin menyerahkan sepucuk nota kepada juruterbang yang menyatakan bahawa terdapat bom diikat pada tubuhnya dan dia boleh meletupkan diri pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, tiada bom ditemui selepas pemeriksaan mendapati wanita berkenaan berada dalam keadaan mabuk.

Juruterbang kemudian mengisytiharkan kecemasan apabila pesawat kembali ke lapangan terbang pada jam 11 malam.

Wanita itu kemudiannya ditahan oleh Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF) sebelum diserahkan kepada polis tempatan.

β€œTiada bom yang diikat pada tubuhnya. Siasatan lanjut sedang dijalankan. Dia belum lagi mendedahkan mengapa dia membuat ugutan bom, mengapa dia pergi ke Mumbai dan mahu penerbangan itu berpatah balik ke Kolkata,” kata seorang lagi pegawai polis lapangan terbang.

Jurucakap AirAsia India semalam mengesahkan bahawa penerbangan Kolkata ke Mumbai berpatah balik dan membuat pendaratan cemas selepas seorang penumpang dilaporkan membawa bahan letupan dan mengancam untuk membunuh diri.

Katanya, syarikat penerbangan terbabit akan bekerjasama dan menyediakan semua bukti untuk membantu siasatan kes berkenaan. – Sinar Harian