Pesanan SPR Kepada Bakal Calon PRK Tanjung Piai

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa bakal calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai membuat semakan awal pengisian borang pencalonan sebelum Hari Penamaan Calon.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataannya berkata, semakan itu boleh dibuat di pejabat pegawai pengurus pilihan raya iaitu di Pejabat Daerah Pontian atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor di Johor Bahru.

“Semakan awal ini adalah untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang tersebut dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan.

“Ia bertujuan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan pengisian borang semasa hari penamaan calon,” katanya.

Menurutnya, semakan awal juga dapat menjamin proses penamaan calon berjalan lancar mengikut tempoh masa ditetapkan.

“Ia juga dapat memberi peluang kepada parti-parti mencari calon yang layak sekiranya calon yang dikemukakan tidak layak,” katanya.

Beliau berkata, Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada pegawai pengurus semasa hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Intan Sultan ibrahim, Pontian antara jam 9 hingga 10 pagi pada Sabtu, 2 November 2019.

“Bakal calon juga turut digesa untuk membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal selain diminta mengambil pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran dibuat,” katanya.

SPR menetapkan tarikh PRK Tanjung Piai pada 16 November depan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen tersebut disebabkan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.

Loading...