Pesalah Trafik Warga Asing Di Cyberjaya Serius

CYBERJAYA – Statistik pesalah trafik membabitkan warga asing di Cyberjaya sepanjang tahun ini kini pada tahap membimbangkan Pengarah Jabatan Pengangkutan…

CYBERJAYA – Statistik pesalah trafik membabitkan warga asing di Cyberjaya sepanjang tahun ini kini pada tahap membimbangkan

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md. Taib berkata, sepanjang tahun ini sahaja sebanyak 504 warga asing didapati melanggar undang-undang jalan raya menerusi empat operasi yang dijalankan pihaknya.

Menurut beliau lagi, memandu tanpa lesen dan melanggar lampu isyarat merupakan antara kesalahan tertinggi yang direkodkan melibatkan rakyat asing.

“Warga Indonesia mencatatkan pesalah trafik paling tinggi iaitu 100 orang diikuti Bangladesh iaitu 85 orang, Pakistan 63 orang dan Myanmar 55 orang.

“Kebanyakkan mereka ini bukan sahaja pelajar tetapi juga meliputi pekerja yang bekerja sekitar Cyberjaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Ops Bersepadu di Persiaran Multimedia di sini hari ini.

Menurut Nazli lagi, Cyberjaya menjadi kawasan tertinggi kesalahan trafik kerana bandar itu didiami warga asing yang bekerja di syarikat swasta dan pelajar beberapa institusi pengajian tinggi (IPT).

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan melaksanakan program kesedaran dengan kerjasama IPT-IPT terhadap pelajar asing sebagai langkah mengurangkan statistik kesalahan trafik.

“Selain itu, kita akan memperbanyakkan operasi bersepadu membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar untuk mengesan pesalah trafik.

“Kita tidak akan berkompromi dalam soal ini kerana sikap mengabaikan undang-undang jalan boleh meragut nyawa seperti yang mana berlaku pada baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...