Pesakit Leukemia Impi Tunai Umrah Meninggal Di Madinah

PESAKIT leukemia tahap empat, Muhammad Ramadan Alias yang mendapat tajaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman untuk mengerjakan umrah, meninggal dunia di Madinah, kira-kira 11.20 pagi Sabtu.

Muhammad Ramadan, 20, menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital di Madinah selepas dimasukkan ke wad pada petang semalam kerana mengalami pendarahan.

Perkara itu turut disahkan oleh abang allahyarham Luqman Hakim.

Menurut Luqman, 32, ibunya, Saibah Yaacub, 57, yang mengiringi Muhammad Ramadan untuk mengerjakan umrah menghubunginya dan memaklumkan adiknya itu mengalami pendarahan kira-kira jam 2 petang semalam.

“Ibu memaklumkan adik mengalami pendarahan di bahagian mulut dan telinga itu berada dalam keadaan tenat dan tidak boleh bercakap.

“Ibu juga mengatakan dia sangat sedih apabila Muhammad Ramadan sudah tidak mengenali sesiapa sebelum dikejarkan ke di sana (hospital).

“Bagaimanapun, pagi ini ibu menghubungi saya dan memaklumkan Muhammad Ramadan meninggal dunia dan jenazah adik akan dikebumikan di sana,” katanya.

Allahyarham dan ibunya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah sejak Rabu lalu dan dijadualkan bertolak ke Makkah semalam untuk mengerjakan ibadat umrah.

Dua beranak ini mendapat tajaan Menteri Besar Terengganu selepas allahyarham menyatakan hasratnya ingin mengerjakan umrah menerusi akhbar Berita Harian.

Berita Harian turut melaporkan, Muhammad Ramadan yang menghidap penyakit leukemia tahap empat diramal mempunyai harapan hidup dalam tempoh empat bulan.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melalui Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) turut bersetuju membiayai perbelanjaan mereka di sana. – MYNEWSHUB.CC

Sumber: BH Online

Loading...