Peruntukan RM6.4 Juta Bersihkan Pencemaran Toksik

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri meluluskan peruntukan kecemasan berjumlah RM6.4 juta bagi kerja-kerja pembersihan dan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sejak seminggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, peruntukan kecemasan itu untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim sepanjang 1.5 km daripada sisa pencemaran ke hilir sungai.

“Beberapa kontraktor telah dilantik untuk melaksanakan segera kerja-kerja pembersihan ini agar langkah kawalan dapat dilaksanakan.

“Pusat Arahan Kawalan Keselamatan telah diwujudkan di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih manakala Pusat Kawalan Operasi Bencana Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah Johor Bahru terletak di Aras 3, Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau memberitahu, Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd. Ridha dilantik sebagai Pengerusi JPBB Johor untuk menyelaras tugas-tugas pemantauan, kawalan dan keselamatan selama 24 jam.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak untuk bertenang dan mengikuti perkembangan terkini menerusi sumber rasmi yang disahkan faktanya. – K! ONLINE

Loading...