Perubahan Kerusi Parlimen Minggu Depan

MESYUARAT Penggal Kedua Parlimen ke-14 pada 11 Mac ini bakal menyaksikan pertambahan kerusi Pakatan Harapan selepas PPBM meluluskan keahlian 7 bekas ahli Parlimen UMNO.

Mereka ialah ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsuddin; Hamzah Zainudin (Larut); Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam); dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Perubahan ini bakal menyaksikan kerusi ahli Parlimen terbabit berubah dari blok pembangkang atau bebas ke blok pemerintah.

Selain itu, ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PH, M Manogaran pada 26 Januari lepas dijangka mengangkat sumpah 12 Mac ini.

Ramli adalah calon langsung BN dan bukan dari mana-mana parti komponen pembangkang itu.

Sehingga kini, PH menguasai 134 daripada 222 kerusi Parlimen iaitu 22 melalui BERSATU, 11 milik Parti Amanah Negara (PAN), DAP (42), PKR (50) manakala baki sembilan lagi melalui Parti Warisan Sabah (Warisan).

BN pula mempunyai 40 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (19), PAS (18), Bebas (7), Parti Bersatu Sabah (1), UPKO (1), STAR (1) dan PBRS (1).

Mesyuarat kali ini dijangka menyaksikan pembentangan usul memansuhkan Akta Hasutan bagi membolehkan kerajaan memperkenalkan akta baharu.

Pembentangan dibuat selepas mengambil kira pandangan semua kementerian dan impak kepada masyarakat, khususnya perasaan ahli keluarga pesalah yang berdepan hukuman itu.

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercadang membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan, bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun untuk dibentang pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Menteri belia dan sukan itu menyasarkan pindaan itu diluluskan dan dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kelak.

Loading...