Pertimbang Skim Insurans Untuk PDRM

KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian perlindungan insurans kepada pegawai dan anggota polis yang sentiasa berhadapan risiko dalam melaksanakan tugas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, perlindungan itu perlu sebagai salah satu kebajikan terhadap anggota dan pegawai agensi berkenaan.

“Kerjaya sebagai polis adalah unik dan berisiko seperti anggota polis trafik terdedah risiko terbabit kemalangan atau pegawai siasatan jenayah yang mempunyai risiko diserang penjenayah.

“Kita lihat perlu ada insurans supaya sekiranya berlaku kemalangan, mereka dilindungi dan dapat imbuhan tertentu. Perkara ini juga perlu dilihat secara menyeluruh termasuk perlindungan daripada penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Dialog dan Amanat Timbalan Ketua Polis Negara Bersama Exco Persatuan-persatuan Polis, Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Loading...