Pertimbang Longgar Pergerakan Penerima 2 Dos Vaksin

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat ketika kerajaan menguruskan pandemik itu.

Sehubungan itu, beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk menilai semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Mutakhir sekali saya minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang mendapat dua suntikan vaksin supaya diberi kelonggaran.

“Ia sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai dan makan di restoran. Ini petanda untuk menunjukkan sementara kita menguruskan COVID-19, maka kehidupan rakyat sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa lepas,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau persiapan program Bakul Prihatin Negara di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pertimbangan kelonggaran pergerakan itu adalah satu inisiatif untuk terus bergerak ke hadapan sewaktu pandemik.

Beliau turut meminta masyarakat bersabar kerana jangka masa Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya sehingga akhir tahun ini.

“Jangan kata kerajaan tak bagi tumpuan, jangan sesekali percaya dengan kempen kerajaan gagal.

“Tetapi yakinlah dengan kerjasama pimpinan dalam kerajaan, swasta, rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kita boleh menang dalam menghadapi peperangan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, antara fokus program vaksinasi yang kini sudah mencapai lebih 400,000 suntikan sehari ialah di kawasan Greater Klang Valley.

Katanya, ia meliputi Selangor, Kuala Lumpur, sebahagian Pahang, selatan Perak dan utara Negeri Sembilan yang menunjukkan kes jangkitan masih tinggi.

“Saya percaya dengan langkah tumpuan khusus untuk kawasan ini, maka kes COVID-19 dapat kita uruskan dengan baik.

“Yang juga agak baik ialah kerana vaksinasi mengikut jadual dan kita harap dalam tempoh bulan ini atau bulan depan, pembekalan vaksin akan meningkat dan bertambah.

“Jadual (sasaran imuniti kelompok) yang kita unjurkan dalam PPN iaitu sebelum akhir tahun, insya-Allah (dicapai),” katanya. – BH Online