Pertemuan Tertutup Zahid, Hadi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan secara tertutup petang ini. 

Menurut sumber, pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada jam 5 petang. 

Difahamkan, pertemuan itu adalah bagi membincangkan perkembangan terkini politik semasa terutama membabitkan kedudukan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerjasama Muafakat Nasional (MN). 

Pendirian dan kedudukan UMNO dalam kerajaan PN sekali lagi menimbulkan persoalan apabila 142 Ketua Bahagian UMNO di seluruh negara menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Hampir semua ketua bahagian mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid pagi tadi, dipercayai bagi membincangkan mengenai perkara terbabit. 

Ia susulan Mesyuarat Bahagian parti itu yang berlangsung hujung minggu lalu mengusulkan supaya UMNO tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU akan datang. 

Langkah itu diperkukuhkan lagi dengan keputusan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). 

Difahamkan, peletakan jawatan itu berkait dengan polemik politik yang berlaku ketika ini khususnya membabitkan hubungan kerjasama antara UMNO, BERSATU serta PN. – BH Online