Pertama Kali Dalam Tempoh 30 Tahun

37

NEW YORK – Banjaran Himalaya dapat dilihat dari beberapa bahagian di India buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun, selepas tahap pencemaran menurun susulan arahan perintah berkurung bagi mengekang penularan Covid-19.

Seramai 1.4 bilion rakyat India diarah berkurung selama 21 hari untuk menghentikan penyebaran Covid-19, sekali gus menyebabkan kilang-kilang ditutup dan jalan raya lengang.

Di kawasan seperti Punjab, di Utara India, penduduk memuat naik gambar banjaran gunung Himalaya dari jarak 201 kilometer yang menampakkan puncaknya.

Keadaan itu mengejutkan penduduk, dan kebanyakan mereka memuat naik gambar di laman sosial masing-masing.

Bekas pemain kriket India, Harbhajan Singh, memuat naik gambar banjaran Dhauladar dari bumbung rumahnya di Jalandhar, di laman twitter miliknya.

“Tidak pernah dibayangkan ia berlaku… Ia jelas menunjukkan kesan pencemaran yang dilakukan kita kepada bumi,” katanya dalam ciapan itu.

Seorang lagi penduduk turut memuat naik status “Inilah alam semula jadi sebenar dan bagaimana kita merosakkannya. Ini Dhauladhar, rangkaian banjaran Himalaya, kelihatan selepas 30 tahun dari Jalandhar (Punjab) selepas pencemaran turun ke tahap paling rendah, jaraknya kira-kira 200 km.”


Dianggarkan 1.5 juta rakyat India maut akibat kesan pencemaran udara pada 2021, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO merekodkan 149 kematian akibat Covid-19 di India, dan lebih 5,000 kes disahkan positif.

Imej satelit bulan lalu menunjukkan kadar pencemaran di bandar raya di Eropah dan Amerika turun selepas arahan perintah berkurung dikeluarkan.

Data menunjukkan nitrogen dioksida turun antara 10 hingga 22 Mac berbanding tempoh sama tahun lalu. – Agensi