Pertahan Tabung Haji Sebagai Jihad Ekonomi

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan supaya pihak Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) melakukan siasatan berkaitan kedudukan kewangan atau apa sahaja yang melibatkan Tabung Haji di samping menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang merupakan salah satu daripada manifesto Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut melahirkan rasa kecewa dan terkilan mengenai pengumuman hibah Tabung Haji sebanyak 1.25 peratus oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof baru-baru ini.

Tegas Ismail Sabri, hibah ini turun disebabkan kerajaan PH menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pentadbiran Tabung Haji yang lalu menyeleweng.

“Segala akaun Tabung Haji diperiksa dan diaudit oleh Jabatan Audit Negara, Tabung Haji juga mengikut prosuder yang telah ditetapkan dalam akta Tabung Haji dan juga Akta Kewangan Badan Berkanun.

“Setiap tahun penyata akuan Tabung Haji dibentangkan di Parlimen tetapi tiada pihak pembangkang ketika itu (PH) yang membangkit tentang isu Tabung Haji,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, pada hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera meminta penyimpan-penyimpan Tabung Haji jangan panik dan mengeluarkan wang simpanan kerana Tabung Haji adalah selamat dan dijamin oleh kerajaan.

“Kepada umat Islam anggaplah tanggungjawab untuk mempertahankan Tabung Haji ini sebagai jihad ekonomi dan kami tidak akan melindungi dan bertolak ansur jika ada benar-benar berlaku penyelewengan.”

Tegas beliau, langkah tersebut bagi memastikan badan berkanun yang ditadbir mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) terus kekal utuh dan berjaya di dunia.

“Simpanan para pendeposit dijamin selamat walaupun kerugian cuba digembar-gemburkan, daripada segi simpan tetap terjamin oleh kerajaan.” – MediaUMNO

Loading...