Perselisihan Kaum, Agama: Ahli Politik, Media Sosial Jadi Punca?

SHAH ALAM – Dua punca perlu ditangani bagi mengelak perselisihan kaum dan agama di negara ini iaitu ahli politik serta media sosial.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, ia berikutan terdapat suara ahli politik di negara ini yang menyebabkan timbulnya perbalahan dalam kalangan masyarakat selain terdapat paparan yang sengaja mencetuskan isu perkauman di media sosial.

“Sesetengah ahli politik bermain dengan sentimen perkauman dan keagamaan serta yang kedua ialah media sosial. Jadi dua ini adalah antara punca yang (mampu) menggugat keharmonian kaum di negara ini.

“Bagi saya tiada jalan lain selain menggunakan undang undang sedia ada, itu sahaja caranya. Nasihat dan sebagainya tidak lagi berkesan, kta perlu gunakan perundangan yang ada sementara (kerajaan) menggubal (undang undang) baharu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, undang undang baharu perlu digubal membabitkan bahasa atau ucapan kebencian berikutan negara terlalu bergantung kepada akta perundangan sedia ada.

“Maksudnya dengan perundangan (sedia ada) itu kita boleh ambil tindakan. Tindakan itu kalau kita ambil dengan tegas dan tepat pasti boleh meredakan keadaan sementara kita tunggu akta yang lebih baik,” katanya.

Beliau mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menzahirkan kebimbangan terhadap perselisihan kaum dan agama yang menjadi ancaman sangat kritikal kepada negara ketika ini.

Baginda bertitah, negara yang dibina dengan falsafah kenegaraan sedang menghadapi perkembangan yang boleh mengancam perpaduan rakyat.

Menurut baginda, slogan-slogan atas nama kaum bersifat provokatif dan retorik-retorik atas nama agama yang bernada ekstrem kini kelihatan semakin digemakan.

Sementara itu, Yayasan Perpaduan Malaysia pula menggesa semua pihak menghentikan sebarang perkara yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa terdapat di negara ini.

Ia termasuk menjauhkan diri daripada mereka yang suka membuat kenyataan provokatif dan perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat selain menghina sesuatu kaum atau agama.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara itu perlu ditangani oleh semua pihak bukan sahaja kerajaan tetapi semua rakyat Malaysia harus mengambil perhatian berat mengenainya.

“Apabila saya membuat perbandingan pada awal-awal tahun kita mencapai kemerdekaan berbanding keadaan sekarang, saya nampak aspek perpaduan antara kaum tidak begitu kukuh berbanding dengan tahun 60-an dan 70-an serta 80-an.

“Masalah berpunca apabila ada golongan pelampau daripada pertubuhan tertentu menggunakan isu-isu berkait kaum dan agama sambil memberikan pandangan ekstrem sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada kaum lain.

“Perkara ini amat serius dan masalah ini hanya boleh ditangani apabila rakyat berbilang kaum menyedari bahawa kehormanian dan perpaduan kaum adalah amat penting untuk negara,” katanya.

Lam Thye yang juga Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia berkata, soal perpaduan kaum banyak bergantung kepada rakyat itu sendiri dan sekiranya rakyat tidak menghormati perpaduan serta menghargai keharmonian negara, tidak mustahil negara kita akan menghadapi banyak masalah.

“Semua rakyat Malaysia perlu mempunyai satu keazaman yang baru dan beriltizam untuk memastikan masing-masing tidak akan menimbulkan masalah atau isu yang boleh menggugat atau memudaratkan perpaduan.

“Rakyat Malaysia termasuklah ahli-ahli politik yang dalam keghairahan mereka untuk mendapatkan sokongan daripada kaum tertentu dengan membuat ucapan yang boleh menyinggung perasaan kaum kaum yang lain,” katanya.

Menurutnya, perkara paling penting bagi terus mengekalkan keharmonian adalah rakyat perlu bersikap rasional, jangan terlalu beremosi dan harus memikirkan fakta penting bagi memastikan survival rakyat dan Malaysia. – Sinar Harian

Loading...