Perokok Perlu Hisap Rokok 3 Meter Dari Premis Apabila Larangan Berkuatkuasa

KUALA LUMPUR – Perokok perlu menghisap rokok sekurang-kurangnya tiga meter daripada premis apabila larangan merokok di restoran dan kedai makan dikuatkuasakan bermula 1 Jan tahun depan atau dikenakan tindakan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata penguatkuasaan peraturan itu bagaimana pun hanya melibatkan tindakan amaran dan pendidikan dalam enam bulan pertama pelaksanaannya nanti.

“Penguatkuasaan akan dilakukan penolong pegawai kesihatan persekitaran. Jadi di peringkat kementerian terdapat 5,008 orang yang mempunyai kuasa menguatkuasakan kawasan larangan merokok.

“Sebahagian daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga mempunyai pegawai kesihatan persekitaran yang boleh menjalankan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam melaksanakan larangan ini pemilik premis perlu mempamerkan tanda kawasan larangan merokok dan tidak menyediakan kemudahan merokok termasuk bekas abu rokok kepada pelanggan.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 63 siri taklimat yang dihadiri lebih 3,000 wakil pengusaha restoran dan kedai makan telah dianjurkan bagi melaksanakan pewartaan premis mereka sebagai kawasan larangan merokok.

Beliau menjelaskan dalam taklimat itu, pihak pengusaha menyuarakan kebimbangan termasuk pelanggan yang enggan bekerjasama dalam pelaksanaan larangan dan cadangan memperkenalkan kawasan khas untuk merokok di dalam premis.

Beliau berkata pengusaha restoran boleh menghubungi ‘hotline’ kementerian 03-88924530 jika berhadapan dengan pelanggan yang enggan bekerjasama bagi membolehkan bantuan penguatkuasaan diberikan manakala kawasan khas untuk merokok di dalam premis pula bertentangan dengan larangan itu sendiri.

Beliau menambah vape dan shisha masih tertakluk di bawah larangan berkenaan kecuali pelanggan boleh membuktikan vape dan shisha itu tidak mengandungi nikotin. – BERNAMA

Loading...