Perniagaan MLM, Menguntungkan Atau Merugikan?

Rata-rata kalangan kita pasti pernah mengalami senario dipaksa memasuki “skim perniagaan cepat kaya” atau perniagaan jualan langsung oleh sahabat handai dan saudara-mara. Serba salah dibuatnya!

Pemasaran berperingkat atau lebih dikenali MLM (multi-level marketing) merupakan satu trend yang semakin berkembang terutamanya dalam kalangan belia yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

MLM dalam bahasa mudahnya bermaksud model perniagaan jualan langsung yang berkonsep lebih kurang sama seperti skim piramid, di mana seseorang wakil jualan atau pengedar perlu merekrut dua atau tiga orang ‘bawahan’ atau digelar ‘down lines’ untuk menyertai perniagaan tersebut.

Mereka juga akan melatih tenaga jualan lain untuk mendapatkan pelanggan.

Ringkasnya,sistem pengrekrutan MLM boleh diibaratkan seperti proses pembiakan amoeba di mana sel induk membagikan dirinya kepada dua unit dan seterusnya.

Menurut Investopedia, syarikat-syarikat MLM adalah sah dari segi undang-undang dan tidak memerlukan kos permulaan yang tinggi untuk menyertai perniagaan ini.

Sebaliknya, MLM lebih memfokuskan penjualan produk-produk keperluan harian pengguna dengan harga yang jauh lebih rendah daripada yang tersedia di pasaran.

Bagaimanapun, model perniagaan berkonsep piramid sebaiknya haruslah dielakkan.

Ini kerana skim tersebut hanya menyasarkan perkembangan bilangan rekrut semata-mata, manakala produk mereka dijual dengan harga yang lebih mahal.

Tambahan pula, kit permulaan untuk menyertai syarikat jualan langsung ini boleh mencecah ribuan ringgit.

Namun, pengguna yang bijak dengan mudah dapat menghidu helah mereka dan seterusnya menyuarakan perasaan ragu-ragu terhadap harga tinggi yang perlu dibayar ahli bagi memulakan perniagaan.

Oleh sebab inilah syarikat Lampe Berger iaitu sebuah syarikat MLM, terpaksa menghentikan operasinya buat sementara waktu, dan mengakibatkan syarikat itu hanya fokus terhadap penjualan produk selain daripada merekrut anggota baru.

Syarikat jualan langsung lebih cenderung menggalakkan ahli atau pengedar baru untuk menngembangkan perniagaan mereka kepada orang terdekat dan seterusnya, ‘mangsa-mangsa’ ini terpaksa menjadi ahli atas dasar hubungan kekeluargaan atau persahabatan.

Dalam satu temubual, ejen QNet dan Nu Skin memberitahu bahawa:-

QNet

• Syarikat mereka telah melabur tenaga, masa dan wang yang banyak untuk memastikan kelangsungan perniagaan kerana penurunan kadar guna tenaga yang tinggi. Dalam erti kata lain, bilangan ahli yang tidak lagi aktif selepas tempoh beberapa lama adalah amat tinggi.

• Mereka juga mendakwa produk mereka mempunyai kualiti terbaik, oleh itu membolehkan penjualan pada harga yang lebih tinggi daripada yang terdapat di kedai.

• Belia mudah tertipu dengan taktik syarikat MLM menggunakan ahli-ahli berprofil tinggi dan berjaya daripada hasil menyertai jualan langsung itu.

Lebih parah lagi, ada segelintir pelajar yang bertindak berhenti belajar akibat mahu mengusahakan perniagaan mereka sepenuh masa akibat terlampau yakin kekayaan akan datang bergolek dalam masa yang singkat.

Persoalannya, adakah kejayaan dalam perniagaan MLM menjadi keutamaan berbanding pengajian mereka? Patutkah pelajar meneruskan aktiviti jualan langsung walaupun mendapat tegahan hebat daripada keluarga dan rakan-rakan mereka? Jika ibu bapa berhenti memberikan wang saku, adakah mereka mampu menampung perbelanjaan harian?

Salah satu sifat syarikat jualan langsung adalah kecenderungan mereka untuk dilihat sebagai syarikat yang ‘murah hati’, membuka peluang kepada penduduk negara dunia ketiga yang kurang berkemampuan untuk mengubah kehidupan mereka.

Namun jika pek permulaan pun dijual dengan harga tidak munasabah, adakah syarikat tersebut masih boleh dianggap sebagai dermawan?

Sepupu saya telah banyak berubah sejak beliau menyertai QNet hampir tiga tahun lalu. Sebelum ini, dia amat fanatik terhadap anime Jepun dan juga permainan video.

Dia juga tidak akan melepaskan peluang untuk menghadiri pesta komik atau mengemaskini informasi mengenai permainan video kegemarannya.

Bagaimanapun, sejak meyertai QNet dia tidak lagi mempunyai masa untuk mendalami minatnya kerana terpaksa pulang lewat dari kerja, kadang kalanya selewat jam 6 pagi, Dia terpaksa mengorbankan hobinya demi mencapai kebebasan kewangan.

Kesimpulannya, adakah perniagaan MLM ini menyumbang atau merugikan penggunanya? Apakah nilai sebenar produk atau servis mereka yang kita tidak dapat diperoleh daripada kedai sedia ada?

Adakah produk-produk ini eksklusif atau milik mutlak syarikat-syarikat tersebut? Bagaimanakah perniagaan ini dapat menguntungkan penggunanya dalam tempoh masa panjang -  Mynewshub.my, 20 Ogos 2014

Rencana ini diterima dari LIM KIAN WEI melalui email advertisement@gmail.com

Loading...