Permulaan Kepada Himpunan Lebih Besar

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam merupakan permulaan kepada himpunan lebih besar pada masa akan datang.

Beliau berkata, himpunan itu menyatakan dengan jelas pendirian rakyat yang mahu Perlembagaan negara, kedudukan Islam serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera dipertahankan.

“Hari ini kita sekali lagi catat sejarah penting. Rakyat tidak mahu selama-lamanya diperbodohkan.

“Rakyat yang cintakan keamanan, mahu pertahankan Perlembagaan negara. Ada orang kata kita himpun nak main sentimen kaum, itu tidak benar,” katanya ketika berucap dalam himpunan itu di sini.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, adalah menjadi kewajipan untuk rakyat mempertahankan institusi raja yang kini dihina begitu teruk.

“Dalam Perlembagaan, institusi raja kita pertahankan kerana institusi ini memelihara martabat dan kesucian Islam. Tetapi, minggu lepas dalam satu forum di Universiti Malaya, institusi raja dikatakan perompak.

“Turut hadir sebagai ahli panel forum itu ialah Tommy Thomas. Kita mesti tuntut Tommy Thomas letak jawatan, dia tak layak jadi Peguam Negara kerana telah membiarkan raja-raja Melayu dihina,” katanya. – Sinar Harian

Loading...