Permulaan Cemerlang Kontinjen Malaysia Hari Pertama Sukan SEA

MANILA – Kontinjen Malaysia mempamerkan aksi cemerlang pada hari pertama Sukan SEA ke-30 di Filipina selepas meraih empat emas, dua perak dan dua gangsa.

Atlet wushu negara, Loh Choon How memulakan tuaian emas untuk kontinjen Malaysia setelah mengungguli acara Taijiquan lelaki dengan kutipan 9.680 mata pada aksi di World Trade Center, Manila.

Paling mencuri tumpuan adalah penari muda berusia 24 tahun, Lego Sam Lee Jek yang meraih emas kedua dalam acara Break Dance Lelaki dalam sukan tarian yang berlangsung di Ballroom Royce Hotel and Casino di Clark.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia berjaya menamatkan penantian selama 12 tahun untuk meraih emas sulung pada temasya sukan berkenaan selepas gandingan Yong Kwok Leong dan Gooi Yee Zhen sekadar meraih pingat gangsa dalam acara Latin Amerika (Rumba) pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Pasukan polo pula mengekalkan status mereka sebagai pasukan terbaik ASEAN apabila mengekalkan pingat emas sukan polo buat kali ketiga berturut-turut selepas mengatasi pasukan tuan rumah, Filipina menerusi keputusan tujuh berbalas 5.5 pada aksi final di Padang Polo L. Miguel Romero di Batangas, dekat sini.

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara acara polo pada edisi 2007 di Korat, Thailand, sebelum mempertahankan emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Atlet luncur ais negara, Julian Yee Zhi Yi menjadi atlet terakhir menyumbang emas untuk kontinjen Malaysia setelah mengungguli acara luncur bebas dengan kutipan 202.64 mata keseluruhan pada aksi di SM Megamall.

Dua perak diperolehi menerusi seorang lagi atlet wushu negara, Wong Weng Son dalam acara Changquan Lelaki, serta Fakrul Adam Fauzi Cruz dalam acara Kurash bawah 90kg lelaki, manakala dua gangsa pula masing-masing disumbangkan oleh skuad floorball lelaki dan wanita negara yang menewaskan Filipina pada aksi penentuan pingat gangsa.

Tuan rumah, Filipina mempamerkan belang mereka setelah mendahului kutipan pingat pada hari pertama dengan jumlah keseluruhan 22 emas, 12 perak dan sembilan gangsa, disusuli Vietnam (10-13-9), manakala Thailand berada di tempat ketiga dengan kutipan lima emas, empat perak dan 10 gangsa.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari kedua, esok dalam beberapa acara, antaranya adalah wushu, menembak, pencak silat dan gimnastik artistik.

Sementara itu, atlet wushu negara, Loh Choon How unggul menghadiahkan pingat emas kelima Malaysia, pada hari kedua wushu dipertandingkan di World Trade Center di sini, hari ini.

Gerakan tangkas dipamer atlet berusia 26 tahun itu nyata memukau barisan juri untuk beliau mengesahkan pingat emas dengan mengumpul 9.68 mata dalam acara taijijian lelaki.

Emas kelima disumbangkan itu sekali gus adalah pingat emas kedua peribadinya, yang sebelum ini menyumbang emas sulung negara dalam acara taijiquan lelaki, semalam.

Pingat perak menjadi milik atlet tuan rumah, Jones Llabres Inso yang mengumpul 9.65 mata.

Sementara wakil Brunei, Hosea Wong Zheng Yu terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mengutip 9.60 mata.

Loading...