Permohonan Najib Batal Saman Deepak Didengar 6 Mei

KUALA LUMPUR – Permohonan dikemukakan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan saman difailkan Pengarah Carpet Raya Sdn. Bhd., J. R. Deepak Jaikishan akan didengar pada 6 Mei 2020 di Mahkamah Tinggi di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes di dalam kamar hari ini.

Peguam Nasbal Harun mewakili Deepak dan 2 lagi plaintif, Carpet Raya dan adik Deepak, J Rajesh, yang juga pengarah syarikat itu, manakala peguam Cheryl Chong Wei Teng mewakili bekas perdana menteri serta isterinya dan peguam Arwindar Jill mewakili Abdul Azeez.

Nasbal ketika ditemui pemberita, berkata defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 24 Sept tahun ini, atas alasan saman itu remeh temeh dan mereka percaya plaintif tidak mempunyai sebab kukuh untuk mengambil tindakan menyaman mereka.

“Mahkamah turut memerintahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis menjelang 28 Februari 2020,” katanya.

Dalam saman difailkan pada 15 November 2018, Deepak mendakwa antara 2004 dan 2010, beliau dan syarikat telah bertindak sebagai ejen dan proksi kepada Najib serta Rosmah dalam traksaksi tanah dan urusan perniagaan lain seperti diarahkan oleh pasangan itu.

Beliau juga mendakwa defendan ketiga (Abdul Azeez) telah bertindak sebagai ejen kepada Najib dan Rosmah untuk melaksanakan transaksi itu serta bertindak sebagai perantara antara pasangan itu dan plaintif kedua, Carpet Raya.

Melalui transaksi itu, Deepak mendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menghantar surat kepadanya bertarikh 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai syarikat Carpet Raya dan cukai individu berjumlah RM6 juta, tidak termasuk caj penalti dan faedah.

Deepak mendakwa beliau menerima surat daripada LHDN selepas hubungannya dengan pasangan itu menjadi keruh pada 2012 selepas beliau enggan mengikut arahan mereka dalam kes sivil membabitkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam, dan mendakwa Abdul Azeez tahu mengenai perkara itu.

Plaintif juga mendakwa Najib dan Rosmah turut mengarahkan LHDN mengambil tindakan undang-undang terhadap Carpet Raya dan petisyen penggulungan difailkan terhadap syarikat itu pada 22 Mac 2017 oleh LHDN dan petisyen itu diterbitkan dalam beberapa akhbar.

Mereka mendakwa akibat daripada petisyen itu, perniagaan dan reputasi semua plaintif terjejas dan Deepak juga dilarang daripada meninggalkan negara ini, manakala kemudahan perniagaan mereka ditarik balik oleh Maybank dan kontrak syarikat itu dengan IKEA dibatalkan.

Mereka memohon perisytiharan mahkamah bahawa Najib dan Rosmah bertanggungjawab membayar tunggakan cukai syarikat itu.

Mereka juga memohon ganti rugi RM500,000 yang dibayar kepada bank, ganti rugi RM47 juta untuk ketidakupayaan syarikat memenuhi kewajipan kontrak dan jualan, ganti rugi RM74 juta untuk pembatalan kontrak syarikat dengan IKEA, RM200 juta atas dakwaan memfitnah, dan RM37 juta bagi kerugian disebabkan oleh tindakan Najib.

Mereka juga memohon RM100 juta bagi ganti rugi teruk dan teladan.

Loading...