Permohonan ‘Lockdown’ Di Kelantan Ditolak

KOTA BHARU – Permohonan kali kedua Kelantan untuk melaksanakan ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat sekali lagi ditolak oleh Kerajaan Pusat.

Difahamkan, permohonan itu ditolak dengan alasan pelaksanaan ‘lockdown’ akan memberi implikasi besar kepada ramai pihak selain banyak sektor ekonomi perlu ditutup.

Sumber berkata, keputusan itu diperoleh petang semalam susulan cadangan dikemukakan kepada kerajaan beberapa hari lalu.

“Sekiranya ‘lockdown’ dilaksanakan, Kerajaan Pusat perlu menyediakan insentif khas kepada golongan yang terjejas dan ia membabitkan peruntukan besar.

“Justeru, Kerajaan Pusat mencadangkan supaya Kelantan memperketatkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada bagi mengekang penularan Covid-19.

“Sebagai contoh, jika SOP sekarang tiada had jumlah penumpang dalam sebuah kenderaan dan ia boleh diperketatkan kepada hanya dua individu untuk sebuah kenderaan selain ketua keluarga saja keluar untuk membeli,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri menghantar laporan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana merasakan kes di Kelantan sudah dianggap cemas dengan angka harian yang tinggi.

“Hampir setiap hari kes di Kelantan mencecah lebih 400 kes dan kita merasakan keadaan ini cemas.

“Namun kita akui untuk melaksanakan ‘lockdown’, ia memerlukan pandangan ramai dan pelbagai pihak kerana ia memberi kesan besar kepada ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, Kelantan dikatakan membuat permohonan kali kedua untuk melaksanakan ‘lockdown’ atau PKP lebih ketat bagi membendung penularan Covid-19 di negeri itu yang semakin membimbangkan.

Difahamkan, sebelum ini Kelantan pernah memohon untuk pelaksanaan berkenaan namun ditolak oleh Kerajaan Pusat disebabkan kesan ekonomi yang terpaksa ditanggung pelbagai pihak.

Permohonan itu dibuat disebabkan keadaan Covid-19 di Kelantan semakin membimbangkan sejak beberapa minggu lalu sehingga fasiliti di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) kritikal. – myMetro Online