Permohonan Gantung Perintah Kembalikan RM194 Juta 31 Mac

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Mac ini untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan bagi menggantung pelaksanaan perintah mahkamah yang menolak permohonannya untuk melucutkan hak wang RM194 juta yang disita daripada UMNO, Wanita MCA dan dua syarikat, Binsabi Sdn. Bhd. dan Perano Sdn. Bhd.

Wang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu itu, didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali, berkata pihaknya telah menfailkan permohonan penggantungan itu pada 14 Februari lepas sementara rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

“Kami akan menghantar hujahan bertulis pada 17 Mac ini dan pihak pembelaan perlu menyerahkan hujahan balasan pada 24 Mac, jika ada. Permohonan ini akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas.

Peguam Nurfazreen Hazrina Rahim yang mewakili UMNO turut mengesahkan perkara itu.

Pada 7 Februari lepas, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucutkan hak wang disita daripada UMNO, Wanita MCA dan dua syarikat iaitu Perano Sdn. Bhd., dan Binsabi Sdn. Bhd.

Permohonan pelucutan hak wang terhadap UMNO melibatkan RM192,965,413.61 dan RM300,000 terhadap Wanita MCA manakala Perano Sdn. Bhd., yang menjual hijab dan Binsabi Sdn. Bhd., yang membekalkan khemah, masing-masing membabitkan RM337,634.78 dan RM827,250, yang mereka didakwa terima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Loading...