Permohonan Abdul Azeez Batal 13 Tuduhan Ditolak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menolak permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan perkara itu selepas mendapati pertuduhan yang dikemukakan terhadap Abdul Azeez, 54, adalah sempurna dan tidak cacat.

Ketika membaca penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, pada pandangan saya pertuduhan di bawah penggubahan wang haram juga tiada kekaburan.

Menurutnya, pertuduhan mengandungi butiran sebagaimana dikehendaki Seksyen 152 dan 153 Kanun Tatacara Jenayah iaitu kesalahan yang mana tertuduh dipertuduhkan.

“Saya mendapati alasan yang dikemukakan pemohon adalah tidak berasas, malah pemohon juga gagal untuk menunjukkan bahawa pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).

“Pada pandangan saya, ini bukan kes yang sesuai dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa sedia ada untuk mengetepikan dan membatalkan pertuduhan terhadap pemohon, maka permohonan pemohon ditolak,” katanya.

Selain itu beliau berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pihak Surujanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan.

Berdasarkan keputusan itu, Abdul Azeez perlu hadir untuk dibicarakan atas tuduhan rasuah berkaitan projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah, Isnin ini.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi 13 pertuduhan iaitu tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – Sinar Harian