Permaisuri Agong Curi Tumpuan Di Live IG

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencuri tumpuan netizen di media sosial apabila mencemar duli mengadakan siaran langsung di Instagram (Live IG) pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim sebentar tadi.

Terdahulu Rizalman mengadakan Live IG bersama pengikutnya dan bercerita mengenai pengalamannya menguruskan balairung seri tempat dan busana Tunku Azizah untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa lalu.

Tunku Azizah kemudiannya menyapa Rizalman seterusnya baginda mencemar duli di Live IG bersama anakandanya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ketika santap durian dan pisang goreng.

Baginda sempat bergurau dengan Tengku Hassanal bertanyakan mengenai sama ada anakandanya sudah berpunya atau tidak memandangkan ramai puji ketampanannya ketika hari pertabalan tersebut.

“Siapa hendak jadi isteri Tengku Hassanal kena pandai makan durian, gulai tempoyak dan kena siapkan pakaian anakanda saya dari kepala sampai kaki, sebab dia (Tengku Hassanal) sekarang saya yang uruskan semua,” titah baginda.

Sebelum ini Tunku Azizah mencuri tumpuan di media sosial apabila mencemar duli memasak lima jenis lauk di rumah Rizalman.

Lima jenis lauk itu adalah gulai nenas udang, asam pedas ayam daun kesom, pindang serani ikan jenahak, ikan bilis masak kicap dan sayur buncis udang kering, – K! ONLINE

Loading...