Perlu ‘Melompat’ Hulur Bantuan Kepada Rakyat – Agong

TEMERLOH – Pemimpin dan penjawat awam perlu mempunyai sikap ‘melompat’ (segera) untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat yang ditimpa bencana.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sikap itu dapat membantu meringankan beban mangsa yang sedang berdepan ujian daripada Allah SWT.

“Ujian seperti ini juga mengajar kita tentang keikhlasan mereka yang hendak membantu. Ini adalah perkara yang saya nilai, tidak kira mereka yang datang (membantu) pada hari pertama atau hari seterusnya.

“Saya tidak mahu kehadiran saya (di tempat bencana) menjemput orang datang untuk tengok dan bercakap sahaja. Lebih baik membantu seadanya… jika tiada RM100 hulurkan RM10 dan tidak dapat sekampit beras boleh diberi secupak,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa mencemar duli menziarah dan mengurniakan sumbangan kepada 74 keluarga yang terjejas akibat ribut di Kampung Haji Ali di sini hari ini, dengan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah yang turut mewakili keluarga baginda menzahirkan simpati kepada mangsa, bertitah amalan segera membantu mangsa bencana merupakan didikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Saya doakan semua mangsa dapat bersabar dan menganggap ini adalah satu dugaan kerana tiada siapa pun yang dapat lari daripada ujian. Saya mohon pihak terlibat untuk beri kerjasama sebaiknya,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak keselamatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), anggota politik serta individu persendirian yang membantu dalam kejadian ribut petang Isnin lalu.

Selain 74 rumah, kejadian ribut yang melanda enam kampung di daerah ini, turut menyebabkan kerosakan kepada masing-masing dua buah surau dan sekolah dengan anggaran kerosakan keseluruhan sebanyak RM270,000.

Pada ziarah itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berkenan mencemar duli melawat beberapa rumah yang terjejas dan berjumpa mangsa untuk memberi kata-kata semangat.

Seorang mangsa Rabiatul Fadillah, 37, berkata kehadiran baginda berdua mengubati kesedihan keluarganya yang kini menumpang di surau selepas rumah yang didiami sejak 10 tahun lepas antara paling teruk terjejas.

“Paling saya terharu apabila Raja Permaisuri Agong begitu prihatin sehingga sudah mahu masuk ke rumah saya untuk melihat sendiri kerosakan, namun dinasihatkan tidak berbuat demikian kerana pihak terlibat sedang membaiki atap.

“Saya tidak sangka sampai begitu sekali semangatnya baginda untuk membantu. Malah Al-Sultan Abdullah sempat berpesan kepada suami supaya berhubung jika ada lagi bantuan yang diperlukan,” katanya.