Perlu Kesungguhan Salur Maklumat Banteras Rasuah

KUALA LUMPUR – Usaha menyalurkan mesej kesedaran mengenai rasuah yang disampaikan kepada masyarakat perlu diuar-uarkan dengan penuh kesungguhan dari semasa ke semasa, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata usaha membanteras rasuah amat penting agar negara tidak binasa dari segi ekonomi dan politik sekali gus menjejaskan kehidupan rakyat.

“Langkah yang diambil Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) adalah amat tepat dan akan menginsafkan masyarakat cuma maklumat kesedaran seperti ini perlu diuar-uarkan dari semasa ke semasa.

“Kalau boleh gambarkan kesan keburukan rasuah, natijah dan akibatnya di samping kelebihan apabila meninggalkan rasuah. Walaupun manusia tahu (keburukan rasuah) tapi kadang-kadang dalam bentuk amat umum, ia tidak dapat difahami dengan lebih baik,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program bual bicara slot SPRM 360 dengan kerjasama Radio MACC.fm dan Bernama Radio, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata umat Islam perlu memiliki benteng diri yang kukuh bagi menghindari rasuah dengan memperbanyakkan ibadah, bergaul dengan rakan yang beriltizam, istiqamah dan banyak membaca kisah mereka yang terlibat dengan rasuah untuk dijadikan pengajaran. – BERNAMA