KUALA LUMPUR – Ketika tahap kecederaan dua tonggak utama skuad Harimau Malaya masih menjadi tanda tanya, Tan Cheng Hoe memberi amaran bahawa sesiapa sahaja bakal diturunkan dalam aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam esok, perlu memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan.

Ketua jurulatih skuad negara itu berkata dua tonggak pertahanan negara Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak dan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak belum pasti dapat diturunkan ekoran mengalami kecederaan ‘hamstring’.

“Mereka belum lagi dapat turun menjalani latihan bersama pasukan. Saya akan terus memantau tahap kecergasan mereka.

“Sesiapa pun diturunkan dalam perlawanan akhir esok, perlu beri impak dan semangat kepada pasukan seperti ditampilkan Syazwan dan Aidil,” katanya pada sidang media pra-perlawanan akhir antara Malaysia dan Vietnam di sini hari ini.

Sementara itu, Cheng Hoe turut memasang impian untuk mengulangi pencapaiannya pada edisi 2010, ketika beliau menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal, menyaksikan skuad negara berjaya menjulang Piala AFF Suzuki.

“Saya rasa setiap jurulatih mempunyai impian untuk mengecap kejuaraan, dan kejayaan pada 2010 akan sentiasa menjadi kenangan terindah buat saya.

“Namun pada 2018, ia situasi berbeza. Kali ini saya sebagai ketua jurulatih dan saya yakin dengan pemain bahawa mereka juga akan melakar kejayaan manis,” katanya.

Pada Piala AFF Suzuki 2010, Malaysia berjaya merangkul kejuaraan buat julung kalinya kejohanan berkenaan apabila menang dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia pada perlawanan akhir. – BERNAMA

Loading...