Perkim Perlis Anggar Belanja Lebih RM1.4 Juta Tahun Depan

KANGAR – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Perlis menganggarkan lebih RM1.4 juta akan dibelanjakan bagi menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan untuk anggota-anggotanya sepanjang tahun depan.

Pengerusinya Datuk Ahmad Jusoh berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM400,000 untuk penganjuran kelas bimbingan fardu ain termasuk bacaan al-Quran dan kursus untuk memantapkan akidah saudara baharu.

“Pelaksanaan program-program ini akan menggunakan wang sumbangan Perkim pusat, baitulmal negeri, kerajaan negeri dan juga penderma,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ahmad berkata jumlah tersebut juga termasuk bayaran elaun kepada guru-guru terlibat mengendalikan kelas, kursus ​​​​​​​serta bantuan pinjaman modal untuk saudara baharu menjalankan perniagaan​​​​​​​ dan bantuan awal persekolahan.

Tahun lepas, seramai 165 saudara baharu mendapat kemudahan pinjaman tersebut bagi menjalankan perniagaan, katanya.

Bagaimanapun, menurut Ahmad, Perkim masih memerlukan sumbangan penyenggaraan rumah perlindungan sementara kepada saudara-saudara baharu termasuk perbelanjaan makan minum mereka sehingga kedudukan mereka stabil selepas memeluk agama Islam. – BERNAMA