Perkhidmatan Kurier ‘Talian Hayat’ Ketika PKPB

KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan perkhidmatan kurier menjadi ‘jentera’ penghubung penting ketika negara berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini, lebih-lebih lagi ketika musim Hari Raya Aidilfitri.

Ini kerana perkhidmatan tersebut menjadi ‘talian hayat’, bagi mereka yang jauh dari keluarga, tidak dapat balik kampung akibat larangan rentas negeri oleh kerajaan, dengan menjadi medium penghantaran barangan bagi mereka yang terpisah.

Meskipun telah dijangkakan terdapat lambakan barangan di pusat perkhidmatan kurier, namun masyarakat secara amnya terus menggunakan servis kurier, dan sekali gus ada yang menimbulkan rasa tidak puas hati, sekiranya barangan tidak sampai pada tempoh yang sepatutnya.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Melihat situasi ini, Ketua Pegawai Eksekutif GD Express Sdn Bhd (GDEX), Caren Chong Hui Chuen, dalam satu pekeliling yang dimuat naik di laman rasmi syarikat itu pada 8 Mei lepas, telah memberi ‘peringatan’ bahawa akan terdapat sedikit kelewatan penghantaran barangan pada waktu puncak, bermula 18 Mei.

Menurutnya, khidmat pengambilan barang adalah seperti biasa, namun penghantarannya akan mengambil masa, iaitu selepas cuti umum Hari Raya ke lokasi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Hari ini, kita dapat melihat kenderaan perkhidmatan kurier ini kembali ‘beraksi’ atas jalan raya, selepas cuti umum bagi menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh para pengguna.

Syarikat City-Link Express pada 20 Mei lepas turut memberi ‘peringatan mesra’, dengan mengatakan jumlah barangannya amat tinggi berikutan PKPB, dan cuti umum yang panjang.

“Bagaimanapun, kami masih lagi komited bagi meyediakan perkhidmatan terbaik yang termampu. Terima kasih atas kesabaran anda dan sokongan yang berterusan. Kami akan lakukan yang terbaik dalam memastikan penghantaran anda dihantar secepat mungkin,” kata City-Link Express, dalam mesej kepada pelanggannya.

Tidak ketinggalan Pos Malaysia Berhad yang menyarankan pengguna membuat pengeposan barangan sebelum 18 Mei, supaya barangan sampai sebelum Hari Raya.

Sementara itu, seorang pekerja City-Link Express yang mahu dikenali sebagai Danny ketika dihubungi berkata, hampir 80 peratus barangan yang dihantar melalui cawangan syarikatnya di Jenjarom, telah selamat sampai kepada pengguna ketika waktu puncak musim Aidilfitri.

“Kita jangka bakinya akan selesai dalam minggu ini. Pengguna mesti faham bahawa barang mereka bukan hilang atau ‘sesat’, tetapi kerana terdapat barangan rosak yang memerlukan penghantaran (semula) kepada penjual, bagi gantian barang.

“Rosak disebabkan penghantar itu sendiri yang degil, menghantar barangan seperti botol kaca yang jelas dilarang, jadi pengguna janganlah marah servis kurier lambat, tidak efisien, dan sebagainya, terdapat banyak kekangan sebenarnya sebelum sesuatu barang dihantar tanpa sebarang kerosakan,” kata Danny.

Seorang pengguna perkhidmatan Line Clear Express & Logistics Sdn Bhd, Suziela Che Mat berkata, beliau menggunakan servis syarikat itu bagi menghantar kotak yang mengandungi makanan dan kuih Raya, untuk suaminya yang tidak dapat balik beraya akibat larangan rentas negeri.

“Saya hantar pada 8 Mei dari Ampang dan barangan sampai ke tangan suami yang berada di Butterworth pada 12 Mei. Boleh dikatakan servis laju dan saya berpuas hati barangan sampai sebelum perayaan Aidilfitri. Sekurang-kurangnya, rasa rindu terhadap kampung halaman terubat dengan penghantaran barangan ini,” katanya.

Namun, tidak ramai yang bernasib baik seperti Suziela, apabila ia dapat dilihat menerusi komen-komen yang dihamburkan di laman sosial perkhidmatan kurier, yang jelas menunjukkan rasa tidak puas hati.

Rata-rata mereka meninggalkan nombor jejakan pesanan meminta pengendali laman sosial untuk menyemak status penghantaran, dan turut dilihat pengendali dengan sabar melayan kerenah pengguna dengan mengemas kini, status barangan tersebut.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason dalam pada itu berkata, pengguna seharusnya memilih perkhidmatan kurier yang boleh dipercayai, selain sabar menunggu penghantaran barangan ketika waktu puncak, seperti musim perayaan.

“Kami menerima aduan hampir setiap hari dan semakan mendapati pengguna menggunakan perkhidmatan kurier yang kurang popular (tidak dinamakan), disebabkan kos murah dan sebagainya.

“Gunakanlah servis kurier yang boleh dipercayai. Aduan yang diterima hampir 100 hingga 200 aduan sebulan, melibatkan kes yang dikenal pasti, tapi bagaimana pula kes yang tidak dilaporkan pengguna,” katanya.

Oleh itu, beliau menyarankan pengguna menggunakan servis kurier yang mempunyai fungsi nombor jejakan mantap, bagi mengelakkan sebarang permasalahan, kerana barangan tetap akan diterima biarpun lewat.

“Elakkan juga menggunakan servis yang kurang popular dan murah. Pengguna yang menghadapi masalah akibat pembelian atau servis, juga boleh membuat tuntutan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,” katanya.