Perkataan ‘Mangkuk’ Tambah Panas Sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Sekatan kehadiran Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu menjadi ‘isu panas’ selepas dibangkitkan pihak pembangkang apabila tidak berpuas hati dikenakan kompaun kerana berkumpul.

Perkara itu dibangkitkan SN Rayer (PH-Jelutong) yang mahu penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

“Sedarkah Tuan Speaker, 2 Ogos lalu apabila Ahli Parlimen pembangkang dalam perjalanan ke Parlimen disekat di bulatan Bank Negara.

“Ketika itu dewan ditangguhkan Timbalan Speaker pada 2 Ogos, kami meninggalkan barangan di dewan dan pejabat masing-masing, untuk memastikan kejadian tidak berlaku lagi sila jelaskan siapa mengeluarkan arahan kepada polis (sekatan),” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Azhar Azizan berkata, beliau tidak menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk masuk ke Parlimen pada hari berkenaan.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) turut bangun menyatakan beliau juga tidak dibenarkan masuk ke Parlimen walaupun mempunyai surat rasmi pada hari berkenaan dan diberi amaran beredar dalam masa dua minit atau ditangkap ketika cuba melepasi sekatan jalan raya.

Menghangatkan suasana, Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) menggunakan perkataan ‘mangkuk’ apabila membantah penjelasan Hamzah yang menyatakan tindakan polis pada hari berkenaan adalah untuk mengelakkan tindakan berkumpul ketika pandemik.

Mahfuz berkata, perkara itu tidak akan berlaku sekiranya Ahli Parlimen pembangkang dibenarkan ke Parlimen.

Azhar Azizan kemudian mengingatkan Mahfuz supaya tidak lagi menggunakan perkataan ‘tidak elok’ itu selepas mendapat bantahan daripada Datuk Awang Hashim (PAS-Pendang) yang mahu ia ditarik balik.

“Pokok Sena (Mahfuz) kata mangkuk ke? Jangan katalah lepas ini ‘mangkuk’, tidak elok,” tegur Azhar Azizan.

Menjelaskan semua persoalan itu, Hamzah berkata, tindakan yang diambil polis pada hari kejadian adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Ini untuk menjaga Yang Berhormat supaya dapat hadir ke Sidang Dewan Rakyat hari ini, ketika itu kes mencecah hampir 100 kes positif di dalam dewan.

“Malah, saya dan Menteri Kesihatan sudah berbincang supaya kompaun RM3,000 dikenakan turut dikurangkan,” katanya. – myMetro Online