Perkataan ‘Kencing’ Gamatkan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Perkataan ‘kencing’ yang terkeluar ketika penyokong kerajaan dan pembangkang berperang mulut mewarnai lagi suasana kecoh sesi penggulungan…

KUALA LUMPUR – Perkataan ‘kencing’ yang terkeluar ketika penyokong kerajaan dan pembangkang berperang mulut mewarnai lagi suasana kecoh sesi penggulungan usul titah Yang di-Pertuan Agong bagi Jabatan Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perkataan ‘kencing’ kini popular digunakan khususnya oleh warganet untuk merujuk kepada janji-janji yang tidak ditunaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak mentadbir negara.

Perkataan itu disebut oleh Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) sewaktu beliau mempertikaikan tindakan kerajaan PH yang dikatakan tidak mematuhi janji manifesto pilihan raya mengenai peruntukan kepada Parlimen pembangkang.

“Kalau inilah sikap PH, saya minta rakyat nilaikan. Apa yang mereka janjikan dalam manifesto, mereka sendiri kencing,” katanya ketika mencelah sesi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik.

Hal itu membuatkan penyokong kerajaan meminta Ka Siong menarik balik perkataan tersebut kerana dirasakan tidak sesuai digunakan dalam sesi Dewan Rakyat.

Mungkin disebabkan terlalu banyak perkataan yang tidak sesuai disebut sepanjang sesi perbahasan, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon menasihati semua ahli Dewan Rakyat menjaga bahasa. – UTUSAN ONLINE