Perkasa Mutu PBT Dengan Imej Baharu- Zuraida

KUALA LUMPUR – Imej dan peranan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diperkasa agar lebih bermutu dalam usaha memperkemas pengurusan kerajaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata sudah tiba masanya kerajaan mengangkat martabat perkhidmatan PBT itu kerana mereka penting dalam pengurusan sesebuah kerajaan.

“Sudah tiba masanya kita mengiktiraf martabat PBT kerana kejayaan penguatkuasaan tempatan dan polisi kerajaan adalah berdasarkan kecekapan tugas penguatkuasaan mereka.

Jadi kita perlu mengangkat peranan mereka dengan memberi imej baharu sekaligus menghapus persepsi negatif berkenaan PBT. Semua PBT juga akan diseragamkan uniform mereka dan diselaraskan tugas mereka di seluruh negara dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan (ANULAE) Datuk Azih Muda dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahalan.

Konvensyen dua hari bermula hari ini dengan tema ‘Cabaran Pihak Berkuasa Tempatan Abad ke-21’ itu melibatkan para peserta daripada 154 PBT Semenanjung Malaysia.

Zuraida berkata dalam masa yang sama kerajaan turut akan memastikan dasar di peringkat komuniti dapat diperkemas agar masyarakat lebih faham tugas dan fungsi PBT serta tidak meremehkan penguatkuasaan yang dibuat.

Ditanya sama ada kemungkinan Pilihanraya PBT akan diadakan lebih awal, Zuraida berkata sinergi dan kesefahaman antara komuniti dan PBT perlu dimantapkan terlebih dahulu.

“Tidak, untuk kita melaksanakan pilihan raya itu perlu ada kesefahaman jitu antara rakyat dan tugasan kerajaan tempatan terlebih dahulu, macam saya telah katakan sebelum ini kerajaan perlu bersedia ke arah itu dalam masa tiga tahun.

“Memang saya lihat negara-negara yang melaksanakan pilihan raya PBT, kualiti penguatkuasaan serta pengetahuan mengenai polisi sangat tinggi dan cekap. Ia membuatkan dasar kerajaan tempatan dilaksanakan secara lebih sempurna dan kita berusaha ke arah itu,” katanya. – BERNAMA

Loading...