Perkasa Bakal Jadi Parti Politik Baharu?

BERPECAH… Masyarakat Melayu yang jadi majoriti warga Malaysia bakal berpecah lagi dari segi politik apabila sebuah parti baharu akan diumumkan penubuhannya esok oleh Datuk Ibrahim Ali.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan hari ini, parti tersebut kononnya cuba bawa agenda bagi perjuangkan kepentingan Melayu dan Islam yang didakwa sebagai gagal dilaksanakan oleh badan politik tempatan sedia ada.

Ibrahim ketika dihubungi media berkenaan malahan menjelaskan parti baharu itu tidak akan bersekongkol dengan mana-mana organisasi siasah lain, sebaliknya ia tetap akan bergerak secara bersendirian bagi bina pengaruhnya.

Bagaimanapun prinsip perjuangan parti terkini itu, ujar beliau, ialah mahu perjuangkan segala agenda melibatkan kepentingan masyarakat Melayu dan syiar Islam yang semakin ‘ditekan’ di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Esok saya akan umumkan, kalau beritahu hari ini sudah tidak jadi kejutan,” katanya. Setakat ini kaum Melayu dinaungi parti UMNO dan PAS selain serpihannya iaitu PPBM dan PAN yang kemudian menjadi komponen PH.

Sementara itu difahamkan parti berkenaan tiada kaitan dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) atau erti kata lain pertubuhan berkenaan hanya bersalin kulit daripada pertubuhan bukan kerajaan kepada parti politik.

Inisiatif terbaharu itu menurut akhbar arus perdana tersebut, dipercayai kemungkinan besar diambil sendiri oleh Ibrahim tanpa ada perbincangan atau dapat kebenaran daripada barisan kepemimpinan Perkasa terlebih dahulu.

Namun pemerhati politik tanah air berasa yakin, persepsi ‘nakal’ tetap akan timbul rumus mengaitkan Perkasa yang ditubuh serta diterajui oleh Ibrahim sendiri dengan idea pewujudan sebuah parti siasah baharu tersebut.

Ura-ura Perkasa yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 bakal berubah peranan sebagai parti politik tempatan memang sering diperkatakan banyak pihak dan ia juga bukan perkara baharu.

Pertubuhan itu diwujudkan bagi menentang segala usaha jahat pihak tertentu untuk hakis kepentingan hak orang Melayu khususnya 30 peratus kuota bumiputera dalam pengagihan kontrak kerajaan.

Untuk rekod, dari segi karier politik, Ibrahim bermula sebagai pemimpin pelajar dan menjadi ahli parlimen buat pertama kali pada tahun 1986 bagi kawasan Pasir Mas di Kelantan bertanding atas tiket UMNO.

Bagaimanapun pada tahun 1990 beliau mengekalkan kerusi berkenaan selepas memenanginya di bawah tiket parti baharu ditubuhkan ketika itu iaitu Parti Melayu Semangat 46, sebelum kalah pada pilihan raya umum 1995.

Selepas itu Ibrahim bertanding di atas tiket Bebas untuk beberapa pilihan raya sehingga beliau pernah mendapat gelaran sebagai raja lompat kerana sering bertindak melompat parti yang berbeza.

Pemerhati politik berpendapat adalah wajar Ibrahim menubuhkan parti sendiri berikutan kejayaan beliau menerajui Perkasa dan mempunyai pengalaman luas di dalam dunia politik. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...