Perjawatan Baharu Meningkat 145,000 Berbanding 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia merekodkan kekosongan pekerjaan bagi kategori siswazah sebanyak 50,326 jawatan manakala kategori bukan siswazah pula sebanyak 642,979 jawatan dalam pelbagai jawatan sektor awam dan swasta.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, berdasarkan statistik Portal JobsMalaysia, dari tempoh Januari hingga Ogos 2019, terdapat seramai 270,288 pendaftar aktif terdiri daripada 197,193 siswazah manakala 73,095 pula adalah bukan siswazah telah mendaftar sebagai pencari kerja.

“Penempatan pencari kerja keseluruhan pada 2018 iaitu seramai 168,677 orang pencari kerja yang terdiri daripada 47,073 siswazah dan 121,604 bukan siswazah.

“Bagi 2019 pula, setakat Ogos 2019 ialah seramai 61,871 orang pencari kerja telah berjaya ditempatkan di pelbagai sektor pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kula, berdasarkan Bancian Guna Tenaga Suku Tahunan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan jumlah jawatan sektor swasta naik sebanyak 145,000 berbanding suku tahun terdahulu.

“Pada suku kedua 2018 sebanyak 8,474,000 berbanding bilangan perjawatan bagi tempoh sama pada 2019 sebanyak 8,619,000.

“Ini menunjukkan pertambahan perjawatan sebanyak 145,000 telah diwujudkan bagi tempoh sehingga ke dua tahun 2019.

“Pengwujudan jawatan di sektor ekonomi iaitu pertanian, perlombongan dan pengkuarian, Pembuatan, Pembinaan dan Perkhidmatan,” katanya lagi.

Loading...