Perjanjian China-AS Undang Risiko Besar Kepada Sawit Negara

KUALA LUMPUR – Perjanjian perdagangan fasa pertama antara China dan Amerika Syarikat hari ini memberi risiko besar kepada industri sawit negara tahun ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, dengan perjanjian itu, China yang merupakan pengimport kedua terbesar selepas India akan mengurangkan import sawit dengan ketara kerana mereka berjanji untuk meningkatkan import kacang soya.

India, pengimport terbesar komoditi itu pula sudah menyekat import sawit dari Malaysia selepas ‘kerajaan PH (Pakatan Harapan) bergaduh’ dengan mereka yang menyaksikan Indonesia mendapat manfaat.

Pada masa sama, pengimport ketiga terbesar, Kesatuan Eropah mula menghadkan import dan kegunaan minyak sawit akibat kegagalan kerajaan menyakinkan mereka untuk menghentikan larangan yang dikeluarkan pada tahun 2019.

“Kesannya mula dirasa oleh Malaysia apabila harga minyak sawit jatuh lebih RM200 minggu ini dari RM3,100 ke RM2,900 sekarang akibat perjanjian pendamaian perang dagang China-Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook.

Najib berkata, eksport sawit ke India telah jatuh 80% beberapa bulan lalu walaupun Menteri Industri Utama, Teresa Kok menafikan wujudnya boikot dari India walaupun keseluruhan eksport sawit Malaysia jatuh sedikit.

Namun, kejatuhan eksport sawit tidak lagi teruk kerana dibantu oleh eksport sawit yang lebih tinggi ke China.

Import sawit China telah mencatat kenaikan tinggi tahun lepas akibat perang dagang China dengan Amerika Syarikat selepas Beijing mengenakan tarif tambahan 25% ke atas import minyak kacang soya dari Amerika.

Minyak sawit bersaing dengan minyak soya di pasaran dunia.

“Apabila China menyekat import minyak soya, mereka menaikkan import minyak sawit sebagai minyak gantian. Ini juga antara sebab harga sawit naik tahun lepas.

“Sebab itu, perjanjian yang dimeterai hari ini merupakan risiko besar kepada Malaysia. Kerana antara syarat utama perjanjian ialah China berjanji untuk menggandakan import kacang soya dan minyak soya dari Amerika tahun ini.

“Apabila, China menggandakan import minyak soya, mereka akan mengurangkan import minyak sawit,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Loading...