Perintah Gaji Minimum Berkuat Kuasa 1 Februari

KUALA LUMPUR – Perintah gaji minimum baharu sudah diwartakan dan akan berkuat kuasa 1 Februari ini.

Menurut warta kerajaan yang dilihat BH, perintah itu menetapkan kadar gaji minimum baharu bagi majlis bandar raya dan majlis perbandaran adalah RM1,200 atau RM5.77 sejam.

Bagi kawasan selain Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran, kadar ditetapkan pula adalah RM1,100 atau RM5.29 sejam.

“Perintah ini tidak terpakai bagi perkhidmatan domestik sebagaimana yang ditakrifkan di bawah subseksyen 2(1) Akta Kerja 1955, subseksyen 2(1) Ordinan Buruh Sabah (bab 67) dan subseksyen 2(1) Ordinan Buruh Sarawak (bab 76).

“Dalam perintah ini, ‘tempat kerja’ mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam subseksyen 2(1) Akta Kerja 1955, subseksyen 2(1) Ordinan Buruh Sabah dan subseksyen 2(1) Ordinan Buruh Sarawak,” menurut warta berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Kenyataan itu susulan pembentangan Belanjawan 2020 dan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Disember lalu berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan di kawasan wilayah bandar utama.

Beberapa kesatuan termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini menuntut kerajaan menaikkan kadar gaji minimum ekoran peningkatan kos sara hidup ketika ini. – BH Online

Loading...