Periksa Kereta Polis: 5 Lelaki Didakwa Khamis Ini

SEREMBAN – Lima penyokong sebuah parti politik yang memeriksa sebuah kereta peronda polis (MPV) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, April lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Seremban di sini Khamis ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban di sini hari ini.

Dalam kejadian pada hari pengundian PRK DUN Rantau 13 April lalu, lima lelaki terbabit bertindak menahan dan memeriksa MPV polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau.

Mereka meminta anggota polis membuka but kenderaan tersebut kerana menyangka ia membawa kertas lebihan undi dan anggota polis terpaksa memenuhi permintaan mereka untuk mengelak kekecohan.

Polis bertindak memburu lima lelaki itu selepas mengenal pasti identiti mereka berdasarkan rakaman video yang tular dalam media sosial serta laporan yang dibuat anggota polis berkenaan.

Terdahulu, Mohamad menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seremban yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Bekas Ketua Polis Daerah Kemaman, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim menggantikan Asisten Komisioner Thiew Hock Poh yang bertukar ke Bahagian (Pengurusan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Mohd. Said yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, tugasnya di Seremban mungkin lebih mencabar berbanding di Kemaman, namun berjanji memikul tanggungjawab itu selain berharap kerjasama semua pihak. 

Loading...