Periksa Kereta Polis: 3 Lelaki Direman 3 Hari

SEREMBAN – Tiga lelaki yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam insiden memeriksa kereta peronda (MPV) polis semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Sabtu lalu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Khas Reman Seremban di sini selepas kesemua suspek berusia antara 36 hingga 52 tahun itu dibawa oleh pihak polis ke mahkamah berkenaan hari ini.

Mereka direman sehingga 17 April ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Ketiga-tiga lelaki itu yang berpakaian lokap polis terlebih dahulu dilihat tiba di pekarangan Mahkamah Seremban di sini kira-kira pukul 8.30 pagi ini dengan menaiki trak polis dan tangan masing-masing bergari.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop memaklumkan, suspek pertama yang bekerja sebagai jurujual kenderaan berusia 52 tahun diberkas di daerah ini tengah hari semalam.

Polis seterusnya menahan seorang lagi suspek yang bekerja sebagai pemandu lori berusia 36 tahun dan seorang peniaga ayam berusia 37 tahun di Rantau, manakala tiga lagi suspek masih diburu polis.

Pada 13 April lalu, lima lelaki dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH) bertindak memeriksa sebuah MPV polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6 petang semasa dua anggota polis masing-masing berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN Rantau.

Lima lelaki terbabit meminta anggota polis terlibat membuka but MPV polis tersebut kerana mengesyaki kenderaan itu membawa kertas lebihan undi. – K! ONLINE

Loading...