Perikatan Nasional Setuju Cadang Bentuk Majlis Presiden

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung semalam bersetuju untuk mencadangkan pembentukan sebuah Majlis Presiden sebagai platform untuk membincangkan dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, majlis itu akan dianggotai oleh semua ketua parti kerajaan PN.

“MT juga memutuskan bahawa PN akan segera melaksanakan program-program ‘flagship’ (utama) di seluruh negara untuk membantu kebajikan semua lapisan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, mesyuarat MT PN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi PN dan Presiden Bersatu, turut dihadiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee serta Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama ahli MT yang lain.

Beliau berkata mesyuarat MT PN semalam berlangsung dengan kehadiran penuh untuk membincangkan persediaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang. – BERNAMA