Perhimpunan Tabligh Di Indonesia Dibatalkan

JAKARTA – Acara Ijtima of Asia 2020 di Indonesia yang dijadualkan berlangsung hari ini hingga 22 Mac dibatalkan selepas mendapat bantahan dari semua pihak.

Pegawai Wilayah Gowa, Sulawesi Selatan, Adnan Puricha Ichsan berkata, program yang dipercayai turut dihadiri rakyat Malaysia itu dibatalkan berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19 di negara itu.

“Alhamdulillah, selepas mengadakan perbincangan akhirnya penganjur sepakat acara himpunan dibatalkan atau ditunda ke tarikh yang lebih sesuai.

“Kita khuatir penganjuran program ini akan mengundang penularan wabak Covid-19,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Katanya, peserta yang berada di lokasi acara akan diasingkan sebelum dibenarkan pulang ke daerah masing-masing mengikut jadual yang akan disusun.

Semalam, Gabenor Sulawesi Selatan, Nurdin Abdullah berkata, tribuan peserta Ijtima Dunia 2020 Zon Indonesia kini berhimpun di Desa Pakkatto, Gowa.

Beliau menganggarkan perhimpunan itu sedang dihadiri kira-kira 8,000 peserta tempatan dan hampir 500 dari luar negara.

Kompas.com turut melaporkan Polis Daerah Sulawesi Selatan tidak membenarkan perhimpunan tersebut diteruskan berikutan wabak Covid-19 yang kini menular di wilayah-wilayah Indonesia.

Peserta antarabangsa dipercayai dari sembilan negara itu tiba di Bandara Internasional Sultan Hasanuddin Makassar sejak akhir bulan lalu sebelum berhimpun di Kabupaten, Gowa. – Sinar Harian

Loading...