Perbincangan Isu ICERD Tidak Mahu Jejas Perlembagaan

KUALA LUMPUR – Perbincangan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan pihak berkepentingan mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sepakat tidak mahu ia menjejaskan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata perbincangan itu berlangsung dalam suasana ​​harmoni tanpa ada mana-mana pihak yang mahu menyentuh hak orang Melayu, Raja-raja dan Islam seperti terkandung dalam perlembagaan.

“Saya ingin nyatakan bahawa pada penghujung sesi itu, tiada mana-mana pihak mahu buat sesuatu yang menjejaskan perlembagaan, tidak ada perbezaan pendapat tentang itu.

“Semua pihak setuju isu-isu diterima di negara ini seperti Perkara 153 (kedudukan Bumiputera), isu Islam, dan Raja-raja yang termaktub dalam perlembagaan, tidak akan ada sesiapa menyentuhnya dan kita menyatakan ia wajib dipertahankan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Agihan Bantuan Pakaian dan Peralatan Persekolahan 2019 anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dekat sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan yang berlangsung di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya, malam tadi, disertai NGO Islam serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu ialah bagi mendapatkan input dan maklum balas mengenai hasrat Malaysia untuk meratifikasi ICERD.

Mujahid berkata pihaknya akan meneruskan perbincangan dengan kaedah konsultasi bersama pihak berkepentingan lain yang masih belum berpeluang melontarkan pandangan mengenai isu berkenaan.

Sementara itu, mengulas isu edaran Bible di sebuah sekolah di Pulau Pinang, beliau mengingatkan pihak terlibat supaya menghormati Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan tentang sekatan penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang Islam.

“Kena faham Perkara 11 (4) menyatakan kebebasan beragama tetapi tidak boleh dipromosi atau didakwahkan, semua pihak kena hormat,” katanya.

Menjawab soalan berhubung keperluan bagi mana-mana negeri menggubal enakmen untuk mengawal atau menyekat pengembangan agama lain kepada umat Islam, beliau berkata Perkara 11 (4) sudah cukup kuat untuk memberi panduan kepada semua pihak supaya mematuhi perkara itu.

“Kita ulangi nasihat kepada pihak yang terlibat supaya menghentikan pengedaran Bible atau sebagainya dan perkara dalam perlembagaan itu perlu dihormati,” tegasnya.

Beliau berkata perkara itu juga telah berada dalam siasatan pihak polis dan jabatan agama islam negeri untuk tindakan lanjut.

Selasa lalu, Mujahid mengakui terdapat aktiviti pengedaran Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Pada majlis sama, Mujahid turut menyampaikan cek bantuan bernilai RM6.6 juta untuk membantu 21,775 pelajar, dengan melibatkan 11,456 pelajar sekolah menengah, 5,902 pelajar sekolah rendah dan 4,417 pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA)/KAFA di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Melalui bantuan itu, pelajar akan menerima dua pasang baju sekolah, sebuah beg dan sepasang kasut sekolah. Bagi pelajar yang mengikut kelas-kelas SRA/KAFA, mereka turut menerima tambahan dua pasang pakaian sekolah.

Agihan bantuan itu akan mula dilakukan pada 18 Nov sehingga 24 Dis ini di Dataran Merdeka.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Mujahid berkata MAIWP menyalurkan Bantuan Am Persekolahan kepada 20,970 pelajar bagi tahun ini, dengan jumlah perbelanjaan RM10.23 juta. – BERNAMA

Loading...