Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu Bermula

KUALA LUMPUR – Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini bermula sebentar tadi. 

Antara Raja-Raja Melayu yang berkenan menghadiri Perbincangan Khas itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Turut berangkat, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. 

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang memasuki Istana Negara sekitar jam 2.05 petang berkenan melambai ke arah sekumpulan petugas media yang membuat liputan di pekarangan Istana Negara, sejak pagi tadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula mula memasuki pekarangan pintu Istana Negara pada jam 2.35 petang tadi.

Setakat jam 3 petang, tidak kelihatan kenderaan rasmi membawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memasuki pekarangan Istana Negara.

Ini adalah Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu kedua diadakan bagi membincangkan mengenai isu kesihatan dan politik negara, dengan pertama kali diadakan pada 25 Oktober tahun lalu.

Dalam pertemuan itu, Raja-Raja Melayu dijadual turut mendapat taklimat khas dari Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, yang akan mengetuai beberapa ketua agensi kerajaan.

Selain Mohd Zuki; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menghadiri Perbincangan Khas itu.

Perbincangan Khas itu adalah inisiatif Al-Sultan Abdullah bagi membincangkan usaha memerangi pandemik COVID-19 di negara ini termasuk pelaksanaannya ketika tempoh darurat yang sedang berjalan ketika ini. – BH Online