Perbicaraan Kes Rogol Paul Yong Ditangguh Lagi

IPOH – Prosiding bicara kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan lagi.

Pihak pembelaan membuat permohonan penangguhan di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini bagi menunggu keputusan perbicaraan rayuan kes di Mahkamah Rayuan, Putrajaya untuk memindahkan perbicaraan kes dari mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi.

Pada 26 November lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan pembelaan untuk memindahkan kes kerana tidak mempunyai merit yang mewajarkan permohonan kes didengar di mahkamah tinggi.

Bercakap kepada pemberita, Peguam Farhan Sapian berkata, mahkamah rayuan telah menetapkan tarikh bicara pada hari sama perbicaraan kes di mahkamah sesyen iaitu hari ini.

“Notis rayuan telah difailkan pada Disember lalu, namun demikian kertas-kertas klausa baru sahaja diserahkan kepada mahkamah rayuan kemudian bicara telah ditetapkan hari ini.

“Jadi keputusan (tarikh) bicara bergantung kepada keputusan mahkamah rayuan atau arahan-arahan lanjut daripada panel mahkamah di sana, ia boleh berubah bergantung kepada arahan panel hakim,” katanya.

Permohonan penangguhan itu bagaimanapun dibantah pihak pendakwaan kerana boleh memberi kesan emosi kepada mangsa dan saksi-saksi lain berikutan tempoh kes yang lama.

Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar berkata, pihaknya telah bersedia dengan 15 saksi, malah Jurubahasa Indonesia juga telah dibawa sehinggalah selesai mangsa memberi keterangan.

“Kita tidak mahu menyimpan mangsa terlalu lama, dia ada di negara ini sejak Julai tahun lalu, sudah lebih lima bulan dan ini boleh menyebabkan emosinya terganggu.

“Sekiranya perbicaraan dapat diteruskan esok, mangsa akan dipanggil memberi keterangan sebagai saksi utama secara tertutup,” katanya.

Terdahulu, dalam penghakimannya Hakim Norashima Khalid menetapkan tarikh bicara esok masih dikekalkan mengikut keputusan atau arahan lanjut daripada mahkamah rayuan.

Sebelum ini mahkamah menetapkan prosiding perbicaraan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu selama lima bermula 10 sehingga 14 Februari ini.

Pada 23 Ogos lalu, Paul Yong, 50, mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya, warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu. – Sinar Harian

Loading...