Perbicaraan Kes Rogol EXCO Perak Bermula Hari Ini

IPOH – Perbicaraan kes rogol membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Paul Yong Choo Kiong bermula di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini pagi ini.

Ia membabitkan keterangan daripada saksi utama iaitu pembantu rumah beliau yang juga mangsa dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, prosiding perbicaraan itu dilakukan secara tertutup kerana tertakluk di bawah Akta Perlindungan Saksi, dengan pihak media dimaklumkan saksi utama kes berkenaan sudahpun tiba sejak awal pagi tadi.

Media dan penyokong sudah pun memenuhi perkarangan pintu masuk mahkamah seawal jam 7.30 pagi, dengan pintu masuk utama dikawal ketat polis malah media turut dilarang daripada memasuki kompleks mahkamah kecuali mereka yang bertugas serta mempunyai urusan rasmi sahaja.

Choo kiong tiba dengan menaiki kenderaan peribadi jenis BMW bewarna hitam kira-kira jam 8.55 pagi dengan disambut penyokongnya yang melaungkan ‘Hidup Paul Yong’.

Beliau yang memakai sut kelabu turut mengangkat tangan dari luar kenderaan kepada kira-kira 200 penyokongnya yang difahamkan datang dengan menaiki dua buah bas.

Perbicaraan akan diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga 15 November.

Choo Kiong didakwa merogol mangsa, pembantu rumahnya yang juga warga Indonesia berusia 23 tahun antara 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu di sebuah bilik di tingkat atas di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya. – BH Online

Loading...