Pendakwaan Tutup Kes Perbicaraan Jong-nam

SHAH ALAM – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara yang mati disapu racun VX di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), menutup kesnya selepas 39 hari perbicaraan dengan 34 saksi dipanggil memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini, bahawa kes pendakwaan telah selesai selepas 34 saksi dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 2 Oktober 2017.

Muhamad Iskandar yang mengendalikan kes itu bersama Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Syed Farid Syed Ali dan Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata pihak pendakwaan menawarkan 93 saksi kepada barisan pembelaan.

“Antara saksi yang akan ditawarkan adalah dua rakan bilik tertuduh Siti Aisyah, 26, pekerja Hotel Sky Star, Hotel Grandmillenium dan pemandu teksi, pemandu peribadi Kim Chol sepanjang mendiang berada di Malaysia,” katanya.

Sebanyak 236 barang bukti dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan itu yang mengambil masa tujuh bulan, antaranya pakaian milik tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 29, rakaman litar kamera tertutup di klia2, spesimen darah dan keratan kuku.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan 11 Jun untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis, manakala 27 hingga 29 Jun pula ditetapkan bagi hujahan lisan sebelum beliau membuat keputusan di peringkat akhir pendakwaan.

Keputusan itu akan menentukan sama ada kedua-dua tertuduh perlu membela diri atas pertuduhan atau dilepas dan dibebaskan.

Siti Aisyah dan Doan didakwa membunuh Kim Chol bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Februari 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Siti Aisyah diwakili barisan peguam Gooi Soon Seng, S.Selvi, Azura Alias manakala Doan diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Naran Singh dan Salim Bashir.

Terdahulu, saksi kesembilan iaitu Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Supritendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz ketika disoal balas Hisyam, berkata beliau tidak pasti sama ada Doan pergi ke Korea Selatan untuk berjumpa teman lelakinya.

Hisyam: Setuju, Doan telah pergi Korea Selatan pada 2 Nov 2016 dan pulang ke Vietnam pada 5 November 2016?

Wan Azirul Nizam: Setuju.

Hisyam: Doan pergi ke daerah Jeju untuk berjumpa teman lelakinya bernama Jun?

Wan Azirul Nizam: Tak pasti. – BERNAMA

Loading...