Perbicaraan Kes Bekas CEO SSM 9 Mac Depan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes menerima suapan, menyalahgunakan kuasa dan bersubahat membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner dan anak lelakinya, Abdulazeez Wan Ruslan akan bermula pada 9 Mac tahun depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan 34 hari bermula 9 dan 10 Mac serta 30 dan 31 Mac ; 6 hingga 13 April; 1 dan 2 Jun; 6 hingga 9 Julai; 20 hingga 23 Julai; 10 hingga 14 Ogos serta 1 hingga 3 September dan 21 hingga 24 September 2020 untuk perbicaraan.

Azura berkata, sekiranya pihak pembelaan ingin mengemukakan representasi, permohonan hendaklah dikemukakan pada atau sebelum tarikh perbicaraan bermula.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal@Zainol memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan hari ini.

“Seramai lebih kurang 70 orang saksi pendakwaan akan dipanggil sepanjang perbicaraan itu,” katanya.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican mewakili Zahrah memohon pelepasan pasport anak guamnya berikutan tertuduh perlu menghadiri majlis perkahwinan abang iparnya yang akan berlangsung pada 3 Januari tahun depan di New Zealand.

“Pihak pembelaan telah memfailkan notis permohonan pelepasan pasport pada 27 November lepas. Permohonan ini tidak keterlaluan kerana ia atas dasar hubungan kekeluargaan,” katanya yang turut memaklumkan suami anak guamnya merupakan warga New Zealand.

Norzilati Izhani pula berkata, tiada keperluan mendesak untuk tertuduh memohon pelepasan pasport itu.

Azura membenarkan permohonan Zahrah untuk mendapatkan pelepasan pasport bermula 23 Disember ini dengan menetapkan syarat tambahan iaitu wang RM20,000 didepositkan bagi mendapatkan pelepasan pasport tersebut.

“Tertuduh juga diperintah menyerahkan salinan jadual penerbangan kepada mahkamah dan pihak pendakwaan sebelum atau pada 19 Disember ini selain pasportnya perlu diserahkan semula kepada mahkamah pada 7 Januari tahun depan,” katanya yang turut memaklumkan deposit RM20,000 akan dipulangkan semula kepada tertuduh selepas pasport dikembalikan kepada mahkamah.

Pada 2 Oktober lepas, Zahrah, 60, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 33 pertuduhan menerima suapan, menyalahgunakan kuasa dan bersubahat membabitkan RM5.7 juta berhubung penganjuran program SSM.

Perbuatan itu antara lain bagi meluluskan permohonan penganjuran Program Online Networking Enterpreneurs Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2015 (ONE SSM) di beberapa buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak serta meluluskan pelantikan beberapa buah syarikat bagi Program Perkhidmatan Pengiklanan Papan Tanda Led Komersial SSM.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di SSM, Menara SSM@Sentral, Tingkat 30, No.7, Jalan Stesen Sentral 5 dan di pH Pastry House, 1 Jalan Tasik Utama 3, Medan Niaga Tasik Damai, Lake Fields, Sungai Besi di sini dan di Maybank Islamic Berhad, Dataran Maybank antara Disember 2015 hingga Mac 2019.

Abdulazeez, 33, pula dituduh atas dua pertuduhan menerima rasuah dan dua pertuduhan bersubahat dengan ibunya membabitkan RM160,000.

Abdulazeez didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan wang tunai, masing-masing berjumlah RM15,000 dan RM70,000 daripada Samhan sebagai upah bagi dirinya kerana telah memastikan ibunya (Zahrah) memberikan kelulusan berhubung permohonan pembangunan One Portal kepada syarikat Fixme Coach Sdn. Bhd. dan kelulusan kepada Kelab Sukan Kecergasan Myfit.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bandar Tasik Selatan di sini pada Mac 2018 dan di sekitar kawasan Lakefield, Sungai Besi di sini pada 6 Februari 2018.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Abdulazeez didakwa atas tuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan ibunya (Zahrah) yang telah menerima wang berjumlah RM75,000 daripada syarikat Big Dataworks dan Prima Arenaniaga untuk Skateboarding Development Malaysia Plt. milik tertuduh di Maybank Islamic Berhad, Jalan Maarof di sini, pada 16 Ogos dan 21 September 2017.

Sementara itu, kes dihadapi kedua-dua tertuduh di Mahkamah Sesyen Ipoh dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Zahrah, didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan salah Abdulazeez yang menerima suapan masing-masing berjumlah RM200,000 dan RM50,000 daripada seorang pengarah syarikat, Samhan Adnan sebagai upah bagi Abdulaziz kerana memastikan ibunya meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan dan Akaun kepada syarikat Ace Holdings Berhad, di Cawangan Maybank Menglembu pada April dan Mei 2018.

Abdulazeez menghadapi dua pertuduhan menerima suapan, masing-masing berjumlah RM200,000 dan RM50,000 daripada individu sama (Samhan) kerana memastikan ibunya meluluskan memo dalaman itu pada tarikh dan tempat sama.

Kesemua pertuduhan itu antaranya dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Seksyen 28 (1)(c), Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 23 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Loading...