Perbicaraan 1MDB Ditangguhkan, Saksi Tak Sihat

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak kerana saksi ke-10 pihak pendakwaan, dilaporkan tidak sihat.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan sidang pagi itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

“Saksi, bekas Ketua pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, iaitu Mohd Hazem Abd Rahman demam dan cuti sakit. Beliau tidak dapat memberi keterangan hari ini,” kata Mohamad Mustafa.

Hakim kemudian mengarahkan saksi untuk menjalani ujian swab dan menangguhkan perbicaraan pada 1 tengah hari.

Mohamad Mustafa kemudian memberitahu mahkamah bahawa saksi seterusnya yang akan memberi keterangan ialah bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Tan Sri Mazidah Abdul Majid.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama. – BERNAMA