Perbelanjaan Berhemah, Kurangkan Ketirisan – Muhyiddin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menekankan mengenai kepentingan pelaksanaan perbelanjaan secara lebih berhemat dan mengurangkan ketirisan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

Pada sesi taklimat mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara yang dibentangkan kepada beliau di sini hari ini, Perdana Menteri kelapan itu turut menegaskan supaya kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan diberi perhatian manakala setiap projek yang akan dilaksanakan diperhalusi agar tidak membebankan komitmen kewangan serta hutang kerajaan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Muhyiddin juga berpandangan bahawa peruntukan Belanjawan tahunan seharusnya mampu mendatangkan pulangan besar kepada pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan rakyat dan negara.

“Oleh yang demikian, keberkesanan program dan projek kerajaan perlu dipertingkatkan lagi supaya setiap wang awam yang dibelanjakan dapat mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.

Sesi selama kira-kira dua jam di Perdana Putra di sini, dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; Ketua Ekonomi, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan, Dr. V. Sivabalasingam dan Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican.

Muhyiddin diberi penerangan mengenai situasi ekonomi semasa, kedudukan fiskal dan hutang negara serta langkah-langkah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 yang diumumkan pada Khamis lepas.

Malah, Perdana Menteri telah mengarahkan supaya jentera kerajaan mengambil perhatian serius bagi melaksanakan dan mempercepatkan pelaksanaan langkah-langkah yang digariskan dalam Belanjawan 2020 serta PRE tersebut.

Menyentuh PRE, beliau meminta Kementerian Kewangan untuk memastikan kesemua inisiatif dilaksanakan secara lancar dan segera serta memantau impak dan prestasi langkah-langkah pakej terbabit.

Pada sesi taklimat itu, perbincangan turut bertumpu kepada agenda untuk memperkasa aktiviti ekonomi domestik dan memastikan kesejahteraan rakyat, seterusnya melonjakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih kompetitif. 

Loading...