Perang Perdagangan China-As Belum Beri Kesan Ketara Ke Atas M’sia

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia sehingga kini belum menerima kesan ketara susulan ‘perang’ perdagangan antara China dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata kerajaan sedar ia mungkin memberi kesan kepada negara namun ia juga dilihat boleh memberi faedah yang baik kepada Malaysia.

“Jikapun ada kesan, kita harap ia adalah dengan cara pemindahan pelaburan Amerika Syarikat di negara China ke Malaysia. Jadi, ada kemungkinan kita mendapat sedikit kebaikan daripada perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengenai sama ada Malaysia terikat dengan China atau Amerika Syarikat atau mengamalkan dasar berkecuali dalam soal perang perdagangan tersebut.

Dr Mahathir menegaskan kerajaan Pakatan Harapan mempunyai dasar tidak campur tangan dalam apa jenis peperangan sama sekali.

Menjawab soalan asal Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai hasil lawatan perdana menteri ke China dari 17 hingga 21 Ogos lalu, Dr Mahathir berkata secara keseluruhan lima memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian antara agensi kerajaan ditandatangani dalam lawatan atas jemputan Perdana Menteri China Li Keqiang.

Beliau berkata pihak China menyatakan kesediaan mengimport 500,000 tan minyak kelapa sawit tambahan dari Malaysia dengan syarat harga yang kompetitif ditawarkan.

Katanya, Malaysia dan China yang mempunyai hubungan dua hala kukuh sejak lebih 40 tahun lalu juga bersetuju mewujudkan hubungan lebih dinamik serta saling bekerjasama meneroka bidang-bidang baharu yang bakal mendatangkan manfaat bersama seperti dalam bidang teknologi, industri dan inovasi.

“Kita menggalakkan pelaburan dari China namun pelaburan ini perlu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, menggunakan bahan tempatan dan peluang pemindahan teknologi kepada industri tempatan. Pelaburan tidak termasuk membawa orang asing bermastautin di negara ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Fong mengenai kemasukan pelancong China yang dilaporkan merosot ketika cuti Hari Kebangsaan China pada 1 hingga 7 Okt lepas yang dikaitkan dengan tindakan kerajaan mengkaji semula konsesi perjanjian yang dibuat kerajaan terdahulu, Dr Mahathir berkata kerajaan yakin pelancong negara itu akan bertambah seperti biasa selepas ini.

Katanya, kerajaan juga sedang melihat proses pengeluaran visa lebih pantas dilakukan selepas ini bagi menarik kedatangan pelancong negara berkenaan.

“Memang pelancong perlu bayar untuk visa dan sebagainya. Ia dibuat di negara China sendiri dan ada kekurangan khidmat ini yang perlu diperbaiki. Kita akan tentukan harga yang dibayar tidak terlalu tinggi, kita juga akan menentukan supaya pengeluaran visa ini dilakukan dengan lebih pantas dan cepat,” katanya. – BERNAMA

Loading...