Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Rempuhan Kereta: Tentera Perancis...

PARIS – Enam anggota tentera Perancis cedera dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian di...

Pengurus Ladang Bebas Tuduhan...

TELUK INTAN - Seorang pengurus ladang yang berdepan dua tuduhan menculik dan menyembunyikan...

Penempatan Sementara Untuk Mangsa...

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor sedang mencari penempatan sementara yang sesuai untuk...

Pantai Merah Panjin Tarik...

PANJIN, Liaoning - Setiap musim luruh, Pantai Merah Panjin di timur laut Teluk...

Peranan Akal Dan Islam

PADA era sekarang terdapat banyak dakwaan palsu mengatakan dalil aqli (pembuktian melalui akal) sebagai kesan daripada pengaruh falsafah Yunani kuno ke atas perbahasan ilmu akidah Islam.

Kenyataan ini jelas meleset kerana Islam sememangnya mengiktiraf kepentingan akal dalam menegakkan hujah termasuklah bab ketuhanan
dan akidah.

Dalam al-Quran terdapat 13 tempat di mana Allah bertanya ‘Afalaa Ta’qiluun’ yang bermaksud “tidakkah kamu menggunakan akal kamu?”

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Persoalan ini menunjukkan bahawa peranan akal itu penting untuk memikirkan yang mana hak atau batil. Ayat ini juga memainkan peranan penting untuk menyedarkan umat manusia bahawa akal yang dikurniakan Allah sebagai pengukur dan penimbang untuk meningkatkan keyakinan.

Sebagai contoh, Allah berfirman, “Dan Dialah yang menciptakan serta mengembangkan kamu di bumi dan kepada-Nya kamu akan dihimpunkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu menggunakan akal kamu?” (Surah Al-Mu’minun: 79-80).

Ayat ini jelas menjadi dalil akidah kepada umat Islam dan disudahi dengan persoalan adakah kita sebagai manusia, tidak menggunakan akal kita untuk memahami kenyataan Allah dalam hal berkenaan.

Namun, untuk membezakan orang Islam dan musyrik
adalah orang musyrik tidak menggunakan akal mereka untuk menerima segala kejadian alam adalah bukti keagungan Allah, bahkan mereka mempersoalkan, “Adakah apabila kamu telah mati dan kami menjadi tanah dan tulang, adakah kami akan dibangkitkan (hidup semula).” (Surah Al-Mu’minun: 82).

Orang musyrik sememangnya tidak menggunakan akal mereka untuk menerima kebenaran, mereka sebenarnya lebih selesa dengan ajaran berhala dan mengikut hawa nafsu mereka.

Hal ini menyebabkan mereka mempersoalkan kembali apa yang telah dikhabarkan kepada mereka. Di akhirat kelak, mereka akan menyesal kerana tidak menggunakan akal mereka untuk mengukur kebenaran yang hakiki atau kepalsuan hawa nafsu.

Hal ini dinyatakan Allah dalam al-Quran, ‘Dan mereka (orang kafir) berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan menggunakan akal kami, tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka.” (Surah Al-Mulk: 10).

Ayat ini mengkhabarkan kepada kita bahawa orang kafir dan musyrik yang dimasukkan ke dalam api neraka ditanyakan kepada mereka, “Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran?” (Surah Al-Mulk: 8).

Lalu mereka semua sepakat menjawab, “Ada. Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepada mereka): Allah tidak menurunkan sesuatu pun, kamu hanyalah berada dalam kesesatan yang besar.” (Surah Al-Mulk: 9)


Kejadian sedemikian memang berlaku kerana ia sudah dinyatakan sendiri oleh Allah yang menjadikan kita semua. Bahkan di zaman Rasulullah, “Bahawa penduduk Makkah meminta kepada Rasulullah untuk diperlihatkan kepada mereka satu mukjizat (tanda kerasulan), maka Rasulullah memperlihatkan kepada mereka mukjizat terbelahnya bulan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no.3438 dan Muslim, no.2802).

Namun orang musyrikin Makkah tetap kufur bahkan menuduh Nabi melakukan sihir, Allah merakam perkara ini dalam firmannya “Dan kalau mereka (musyrikin Makkah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata : (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.” (Surah Al-Qamar: 2).

Seseorang yang mempunyai akal yang sihat pasti menerima mukjizat itu sebagai bukti kerasulan, namun kaum musyrikin Makkah tidak menggunakan akal mereka sehingga bertanya pula kepada orang yang baru pulang dari musafir, adakah mereka juga melihat bulan terbelah.

Walau pun orang musafir itu membenarkan kejadian itu, mereka tetap menuruti hawa nafsu mereka sehingga mereka berdalih pula bahawa Nabi menggunakan sihir kepada bulan.

Sedangkan tidak ada satu sihir pun dapat melakukan sedemikian rupa. Perkara sebeginilah yang dimaksudkan dalam ayat di atas, mereka tidak menerima Rasul yang diutus dengan menolak untuk mendengar dakwah nabi dan tidak menggunakan akal untuk memikirkan yang mana benar dan yang mana salah.

Berdasarkan seluruh fakta di atas, dapat kita simpulkan bahawa Islam tidak menolak peranan akal untuk menimbang kebenaran atau kebatilan.

Bahkan mukjizat dimunculkan juga untuk menyedarkan akal yang sihat agar tunduk kepada kebenaran. Demikian juga Allah mengkhabarkan penyesalan orang kafir terhadap sikap mereka sering menafikan kebenaran yang pernah hinggap pada pendengaran dan akal mereka.

Oleh itu jelaslah bahawa akal mempunyai peranan yang besar dalam dakwah Nabi ketika hayat Baginda. Maka terbatallah dakwaan bahawa penggunaan akal merupakan pengaruh daripada falsafah Yunani.

Ustaz Hafiz Za’farani
Setiausaha Muzakarah dan Syariat (Muhadis)

Kategori