Peralihan Kuasa PM Selepas APEC 2020 – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hari ini mengulangi ketetapan bahawa peralihan kuasa Perdana Menteri hanya akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 selesai dianjurkan, akhir tahun ini.

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam satu kenyataan menegaskan, justeru tidak timbul sama sekali isu peralihan kuasa Perdana Menteri akan dilakukan pada Mei depan.

Katanya, muafakat PH pada 6 Januari tahun lalu berhubung isu berkenaan tidak menyatakan sebarang tarikh peralihan kuasa untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan.

Beliau turut menegaskan, tidak wujud pertikaian dalam Majlis Presiden PH mengenai muafakat PH dalam isu berkenaan.

Menteri Luar itu berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga sudah menyatakan pada 10 Disember lalu bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas APEC 2020.

“Sebarang soal peralihan kuasa harus dikembalikan kepada Majlis Presiden PH untuk dibincang dan ditentukan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, PH melangkah ke era baharu tahun ini dengan satu hala tuju membawa agenda Malaysia Baharu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 20 bulan yang lalu, pelbagai usaha digerakkan untuk memenuhi manifesto Buku Harapan.

“Saya bersetuju bahawa kita perlu melaksana dan menunaikan manifesto PH. Majlis Presiden PH sudah menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Manifesto pada 8 Julai 2019 yang dipengerusikan oleh Senator Liew Chin Tong,” katanya. – BH Online

Loading...