Tunda Serah LCS 1 Maharaja Lela Kepada TLDM

LUMUT – Penyerahan kapal tempur pesisir (LCS) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), LCS 1 Maharaja Lela yang dijadualkan tahun depan, dijangka ditangguhkan.

Ini susulan pembinanya Boustead Naval Shipyard (BNS) masih menunggu komponen penting daripada sebuah syarikat di Amerika Syarikat.

Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Berhad (BHIC) Laksamana Madya (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor berkata komponen itu dijangka tiba pada penghujung tahun depan,

Katanya berikutan itu juga LCS 1 Maharaja Lela tidak akan terlibat dalam Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 yang dijadualkan pada Mac tahun depan.

“Peralatan yang asalnya memang sudah ada sebelum ini daripada syarikat lain, cuma kita melakukan penambahbaikan menyebabkan kelewatan berlaku, namun kita akan memastikan ia berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas upacara peletakan lunas LCS ke-4 TLDM yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong di Limbungan BNS, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Ramli berkata pihaknya tidak mahu mengambil risiko menggunakan kapal terbabit tanpa komponen itu yang berperanan mengawal kesemua jentera termasuk enjin dan generator.

Katanya kelewatan itu juga perkara biasa memandangkan Maharaja Lela merupakan LCS pertama, justeru perlu banyak penambahbaikan.

“Apabila kita menyerahkan kapal ini nanti, ia bukan hanya mengenai fizikal tetapi keseluruhan sistemnya sekali dan kadangkala kita perlu melakukan percubaan dalam tempoh yang panjang sehingga mencecah satu tahun,” katanya.

LCS1 Maharaja Lela sebelum ini dijangka diserahkan kepada TLDM tahun depan dan digunakan pada LIMA ’19 yang akan berlangsung dari 26 sehingga 30 Mac.

LCS itu adalah antara enam kapal tempur pesisir yang dibina BNS, syarikat bersekutu BHIC, menerusi projek bernilai RM9 bilion untuk diserahkan secara berperingkat kepada TLDM dengan penyerahan kapal terakhir dijadualkan pada 2023.

LCS tersebut dibina dengan keupayaan peperangan empat dimensi bagi mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta dilengkapi sistem pengurusan peperangan terkini dan mampu menampung sehingga 118 anak kapal selain sebuah helikopter dan pasukan khas. – BERNAMA