Penyeludup Mati, 15 Juta Pil “Meth” Disita Di Chiang Rai

BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand menembak mati seorang penyeludup dadah dan merampas 15 juta pil Methaphetamine bernilai berbilion Baht Thai di wilayah Chiang Rai, dekat sempadan utara dengan Myanmar lewat malam tadi.

Biro Sekatan Narkotik (NSB) mendapati dadah sintetik yang dimuatkan ke dalam trak ‘pick up’ yang dipandu oleh penyeludup berumur 31 tahun.

”Penyeludup dadah itu enggan memberhentikan kenderaan yang dipandu apabila diminta oleh para pegawai NSB. Lelaki berkenaan juga mula melepaskan tembakan ke arah pegawai berkenaan yang kemudian membalas tembakan dan mengenai penyeludup itu yang mati serta merta”, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh biro berkenaan hari ini.

Rampasan itu berlaku kira-kira 11 malam (waktu tempatan) tadi di daerah Wiangchai di Chiang Rai.

Menurut pegawai NSB, lelaki yang mati itu berasal dari daerah Chiangkhong, yang terletak berhampiran Sungai Mekong di Chiang Rai.

Kumpulan sindiket didapati sering menggunakan laluan sepanjang hutan dan bukit bukau di sempadan. Thai-Myanmar berdekatan Chiang Rai untuk menyeludup pelbagai jenis dadah ke Thailand dan bahagian lain dunia. – BERNAMA

Loading...